Itulah ungkapan yang paling sesuai buat menggambarkan situasi terkini selepas berakhirnya saingan perlawanan ke 12 bagi Liga Super. Ada pasukan yang kembali mendapat momentum kemenangan dan berjaya menjaringkan banyak gol, dan ada pasukan yang semakin terjerumus ke tangga bawahan liga.
Buat skuad Kenyalang, pertukaran jurulatih ternyata memberikan aura positif apabila berjaya mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut ke atas Perak. Defisit 3 gol tanpa bolos di laman lawan membuktikan bahawa percaturan jurulatih baru , David Usop berjaya difahami pemain-pemain skuad Sarawak.
Selangor pula kembali mendapatkan rentak sebenar mereka apabila berjaya mengenepikan Kelantan di Kota Bharu dengan jurang jaringan besar 2 -5. Kesemua gol Selangor dihasilkan oleh pemain tempatan sekaligus membuktikan bahawa kerjasama sepasukan diantara pemain masih serasi.
Berlainan pula ceritanya buat skuad Tok Gajah, bolos 9 gol dalam 2 perlawanan terakhir mereka telah menceritakan bahawa pasukan ini amat-amat memerlukan magis untuk kembali bangkit dalam saingan liga. Dengan moral pasukan dilihat berada di tahap yang rendah, Razip Ismail perlu bekerja keras untuk mengembalikan kepercayaan peminat Pahang dalam perlawanan yang seterusnya.
Skrip hampir serupa buat pasukan Pulau Pinang apabila terperosok di tangga bahawan liga. Dengan hanya 1 kemenangan dalam 12 perlawanan, Harimau Kumbang harus segera memperbaiki kedudukan mereka agar tidak kembali terjerumus ke kancah liga perdana. Dengan baki perlawanan semakin sedikit, jurulatih baru Bojan Hodak dan Nenad Bacina perlu segera menghasilkan tonik yang mampu mengembalikan kegarangan skuad Pulau Pinang.
Bagi pasukan pertengahan liga seperti Kedah, T-Team, Terengganu dan PDRM, mereka perlu kekal konsisten mengutip mata dalam setiap perlawanan , selain perlu menajamkan jentera serangan agar mencetak lebih banyak gol jika mahu mengejar kedudukan 3 teratas liga.