Skip to main content

Rencana

Ada ruang tingkatkan kemampuan

piala-uber.jpg
Skuad Piala Uber negara menamatkan kempen peringkat kumpulan dengan kemenangan 5-0 ke atas Perancis sekaligus ulangi pencapaian dua tahun lalu di Kunshan, China iaitu satu kemenangan dan dua kekalahan.

Kejayaan ke atas Perancis sudahpun diduga apatah lagi lawan merupakan penyertaan di saat akhir bagi menggantikan Sepanyol berikutan faktor kecederaan yang menimpa ramai pemain utamanya.

Secara tidak langsung ia mengubati kedukaan gagal mencapai sasaran mara ke suku akhir, pencapaian yang kali terakhir dilakukan pada edisi 2010 iaitu ketika Malaysia menjadi tuan rumah.

Secara keseluruhan, bahagian perseorangan melaksanakan tugas dengan baik apabila Soniia Cheah, Goh Jin Wei, Lee Ying Ying S. Kisona dapat mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing.

Malah Jin Wei berpeluang merekodkan tiga kemenangan andai dapat atasi lawan dari Indonesia, Gregoria Mariska sewaktu aksi pertama peringkat kumpulan tetapi gagal melakukannya.

Persembahan cemerlang bahagian perseorangan ini turut mendapat pujian presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria yang beranggapan mereka dapat buktikan kemampuan bersaing dengan pemain yang berada di ranking lebih baik daripada mereka.

Manakala untuk bahagian beregu, eksperimen untuk mempelbagaikan gandingan tidak begitu menjadi khususnya ketika pertemuan dengan Indonesia.

Langkah ini mungkin dapat memberikan kejutan kepada lawan tetapi kombinasi yang dicari dalam memburu mata tidak dapat menyempurnakan tugasan masing-masing tetapi ia bukan bermakna Malaysia ketiadaan gandingan yang berkesan.

Tidak dinafikan kecederaan yang menimpa Woon Khe Wei serta Lee Meng Yean mengakibatkan barisan kejurulatihan beregu terpaksa merencana strategi berbeza untuk saingan Piala Uber kali ini.

Antaranya menyenaraikan pemain muda, Goh Yea Ching yang akui masih banyak yang perlu dipelajarinya selepas kecundang dua perlawanan bersama gandingan yang berbeza ketika menentang Indonesia dan China.

Manakala gandingan Vivian Hoo/Chow Mei Kuan yang meraih emas di temasya Sukan Komanwel Gold Coast juga sudah berusaha sebaik mungkin namun tidak dapat menafikan kehebatan lain.

Kegagalan ke suku akhir ini perlu dilihat dalam aspek positif oleh skuad wanita negara dan penulis yakin masih ada ruang peningkatan seandainya ingin membentuk pasukan yang lebih mantap pada edisi berikutnya, dua tahun lagi.

Advertisement

Must Watch Video