Dua kali alami kecederaan ACL, menghancurkan karier sebagai seorang atlet.
Namun perkataan putus asa tiada dalam kamus Low Wee Wern.
Pemain skuasy kebangsaan dan bekas pemain no.5 dunia itu baru sahaja pulang ke tanah air selepas menjalani pembedahan ACL di Hospital Cromwell, Kensington, England.
Wee Wern mendapat kecederaan ACL pada April 2015 dan selepas pembedahan di Malaysia dia kembali beraksi beberapa bulan selepas itu dan berita buruk sekali lagi menimpa apabila mendapati ACLnya hilang dalam ujian MRI pada November 2016.
Pakar perubatan di Hospital Cromwell yang bertanggungnjawab memastikan para pemain bola sepak Liga Inggeris kembali beraksi secepat mungkin selepas kecederaan serius diberi mandat supaya Wee Wern sembuh dan dapat beraksi di tahap professional.
Dia tampak positif namun saya percaya dia cukup kecewa dengan nasib yang dialami.
Apabila ditanya semasa temubual untuk laporan khas Nadi@1, Wee Wern sedih dan adakalanya hilang tujuan.
Situasi sebegini juga pernah berlaku kepada atlet elit lain seperti Dato’ Lee Chong Wei yang tercedera semasa beraksi di Piala Thomas pada Mei 2012 beberapa bulan sebelum Olimpik London. Namun dengan kekuatan mental dan emosi, dia berjaya merangkul pingat perak Olimpik.
‘The Pocket Rocket Man’ Azizul Hasni Awang pada Februari 2011, betis kaki kirinya tertusuk kayu pada saingan akhir keirin Siri Piala Dunia Klasik di Manchester, England.
Oleh itu mendapat nasihat pakar psikologi sukan dan sokongan keluarga cukup penting dalam melalui perjalanan yang sukar ini.
Wee Wern berkongsi bagaimana dia mengharungi cabaran dari segi fizikal, mental dan emosi yang boleh dijadikan pedoman untuk atlet yang melalui pengalaman yang sama.
Tambahan lagi apa yang perlu diberi fokus supaya proses untuk sembuh lebih pantas.
Juga bagaimana ibu Wee Wern menjadi tulang belakang kepada anak perempuannya untuk terus positif dalam kehidupan dan meneruskan karier sebagai atlet profesional.
Untuk mengetahui jawapannya dan mendapat perkembangan terbaru Low Wee Wern, ikuti laporan khas di Nadi@1 bersama hos Edleen Ismail pada Sabtu (21 Januari 2017) 1 tengahari.