RENCANA
ABANG LAWAN ADIK
"Dia cikgu saya. Banyak yang saya belajar daripadanya sejak dalam pasukan kebangsaan. Apa yang berlaku di final nanti hanya permusuhan atas padang," kata jurulatih Polis Diraja Malaysia, Gurmeet Singh.
Beliau abang kepada jurulatih skuad hoki Terengganu, Sarjit Singh - lawannya di final Piala Razak 2016.
Apa yang menarik, kedua-dua pengendali ini pernah bergandingan dalam pasukan kebangsaan antara 2006 hingga 2009 sebelum kontrak Sarjit ditamatkan selepas gagal membantu Malaysia layak ke Piala Dunia 2010.
Iklan
Ketika itu, Gurmeet bertindak sebagai pembantunya.
Piala Razak 2016, ramai yang tertarik mengenai laluan PDRM ke final.
Mereka menggunakan khidmat pemain kebangsaan yang menyertai kursus latihan asas polis seperti Muhammad Razie Abd Rahim dan Nabil Fiqri Mohd Noor.
Walaupun buat penampilan sulung divisyen 1, namun PDRM tidak gentar menentang lawan seperti Pahang, Johor dan Melaka dalam kumpulan A.
PDRM menamatkan cabaran selaku naib juara sebelum menumbangkan naib juara tahun lalu, Perak, 3-0 di separuh akhir sementara Terengganu menyingkirkan Melaka di peringkat sama.
"Sudah lama saya tunggu saat ini. Saya tidak pernah menentang Gurmeet pada final mana-mana kejohanan. Ia pasti sesuatu yang menarik," kata Sarjit.
Terengganu meletakkan Faizal Saari, Firhan Ashaari dan Fitri Saari sebagai penggerak utama sementara PDRM menggunakan Razie, Nabil dan kapten, Baljit Singh Sarjab Singh.
Ia pasti final yang menarik.
Must-Watch Video