Ada yang suka, ada yang duka.
Antara pemain yang belum serasi dengan penurunan tin ini ialah Nicol David.
Tahun 2016 dimulakan dengan langkah kiri apabila disingkirkan oleh Nour El Sherbini dari Mesir di separuh akhir Tournament of Champions di New York kelmarin.
Juara dunia 8 kali Nicol tewas 11-8, 11-5, 11-6 kepada pilihan ke 7 kerana sukar mengikut rentak agresif bekas juara remaja itu.
Tin 17 inci sesuai untuk pemain yang mempunyai corak permainan menyerang terutama membuat pukulan rendah dan pantas, pukulan flik, nick dan drop.
Nicol mengalami kesukaran kerana pihak lawan dapat membaca cara permainannya yang gemar bertahan, terlalu ‘basic’ dan mempertaruhkan kekuatan fizikal semata-mata. Jarang-jarang bekas pemain nombor 1 dunia ini menunjukkan pukulan ‘berbunga’ ke bahagian hadapan.
Ramai peminat skuasy memberi komen bahawa jika Nicol tidak menukar strategi permainan berdasarkan tin 17 inci, kebarangkalian ikon skuasy dunia ini ditewaskan lebih kerap amat besar.
Untuk makluman, keempat-empat pemain wanita yang mara ke separuh akhir pernah menjadi juara remaja dunia. Yang menariknya, selain Nicol, 3 pemain yang lain mempunyai corak permainan menyerang dan cukup berbisa di hadapan yang amat sesuai dalam gelanggang bertin 17 inci.
Apa pun, ramai yang percaya dengan kematangan, pengalaman dan kekuatan mental Nicol, beliau akan belajar dari kekalahan secepat mungkin untuk bangkit semula.
Namun, Nicol perlu pantas menyesuaikan diri.
Jika tidak, tin 17 inci terus menjadi punca kekalahan.