Skip to main content

Bola Sepak

Zidane pertahan keputusannya

zidane.jpg
Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, enggan mengambil kisah pandangan orang lain di atas rombakan besar-besaran pasukannya ketika tewas 3-2 kepada Sevilla, awal pagi tadi

Zidane membuat tujuh pertukaran dalam kesebelasannya selepas seri 2-2 dengan Barcelona, Ahad lalu, yang menyaksikan mereka bergelut di Ramon Sanchez Pizjuan.

Cristiano Ronaldo, Isco dan Dani Carvajal tidak beraksi kerana mengalami kecederaan, Gareth Bale digantung perlawanan manakala Toni Kroos, Luka Modric, Keylor Navas dan Marcelo direhatkan.

Real ketinggalan 2-0 hasil jaringan Wissam Ben Yedder dan Miguel Layun sebelum Sergio Ramos gagal menyempurnakan sepakan penalti dan kemudian menjaringkan gol sendiri.

Borja Mayoral memberikan gol pertama buat Real sebelum Ramos menjaringkan gol menerusi sepakan penalti kedua dalam masa kecederaan tetapi kekurangan masa untuk memastikan mereka mengelak daripada kekalahan.

"Kami mempunyai banyak perlawanan dan beberapa pemain perlu direhatkan," kata Zidane.

"Real akan menghadapi aksi final Liga Juara-Juara (UCL) pada 26 Mei dan saya tidak memikirkan mengenai apa yang dikatakan oleh orang lain. Saya jurulatih pasukan ini dan akan membuat keputusan."
 

Advertisement

Must Watch Video