Skip to main content

Bola Sepak

Villa mara ke final play-off EPL

aston-villa.jpg
ASTON VILLA 0 MIDDLESBROUGH 0
(Villa layak secara agregat 1-0) 

Aston Villa akan menghadapi Fulham dalam perlawanan akhir play-off Liga Kejuaraan selepas pasukan kendalian Steve Bruce itu menundukkan Middlesbrough dalam pertembungan separuh akhir play-off Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.


Keputusan seri tanpa jaringan di Villa Park memastikan kemenangan 1-0 Villa secara agregat untuk menempah misi hidup dan mati di Wembley, hujung minggu depan.

Tony Pulis yang mengendalikan Middlesbrough bertandang ke Midlands untuk memadam defisit jaringan, sebaliknya Villa mencipta peluang yang lebih baik dalam pertemuan getir itu. 

Tepukan berkumandang selama seminit sebelum sepak mula bagi mengenang Jlloyd Samuel -- bekas pertahanan Villa yang terbunuh dalam kemalangan kereta semalam --dan 45 minit pertama menyaksikan beberapa peluang menarik yang dicipta di hadapan penyokong yang penuh sesak.

Lewis Grabban dan Jack Grealish masing-masing berkesempatan menguji penjaga gol Boro, Darren Randolph, yang mempamerkan aksi cemerlang untuk mengekalkan pasukannya dalam saingan sementara pelawat gagal melancarkan sebarang percubaan tepat pada awal permainan.

Hanya  percubaan Stewart Downing pada minit ke-88 yang menggegar gawang sempat mencemaskan tuan rumah selepas penjaga gol Villa, Sam Johnstone, hampir dibuang padang kerana mengendalikan bola di luar kawasan penalti.

Mereka akan bertemu Fulham yang mengalahkan Derby County 2-1 secara agregat untuk merebut tempat dalam Liga Perdana musim depan.
 

Advertisement

Must Watch Video