Skip to main content

Bola Sepak

Valverde sanjung Suarez sebagai 'pembunuh' Madrid

luis-suarez.jpg
REAL MADRID 0 BARCELONA 3
(Barcelona ke final dengan agregat 4-1)

Ketua jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde, berkata hanya terdapat segelintir pemain yang mampu menandingi rekod jaringan Luis Suarez ke atas Real Madrid selepas pemain itu menjadi inspirasi ketika mengungguli pertembungan El Clasico 3-0 di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.


Kejayaan itu menyaksikan juara bertahan Copa del Rey itu mencipta rekod enam kemaraan ke final berturut-turut menerusi agregat 4-1.

Suarez menjaringkan dua gol dalam babak kedua dan dilihat sebagai penjaring hatrik ketika terjahannya memaksa Raphael Varane terjaring bola ke gawang sendiri.

Bintang Uruguay itu melakukan perkara sama dalam pertemuan LaLiga terakhir kedua-dua pasukan dengan meledak tiga gol ketika menewaskan Madrid 5-1 di Camp Nou, Oktober lalu, yang mengakibatkan Julen Lopetegui dipecat.

Malah, Suarez menjaringkan 11 gol ketika berdepan Madrid dalam kesemua kejohanan dan ia merupakan rekod terbanyaknya berbanding ketika berdepan pasukan lain sewaktu beraksi dengan Barca.

Valverde berasakan rekod jaringan penyerang berusia 32 tahun itu ke atas Madrid tidak dapat ditandingi oleh pemain lain.

"Saya tidak berasakan ada pemain lain yang mampu untuk menjaringkan tiga gol ke atas Real Madrid sebanyak dua kali dalam semusim," katanya seperti yang dipetik AS.

Kemenangan 3-0 Barca itu tiba selepas mereka hanya menghasilkan dua percubaan tepat daripada empat secara keseluruhan ketika Real Madrid pula melakukan 14 percubaan.

Valverde gembira dengan kekemasan penyudah pasukannya dan membandingkan situasi itu dengan aksi ketika mereka menguasai perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah menentang Lyon di mana ia berakhir tanpa jaringan.

"Amat pelik ketika di Lyon, kami menghasilkan 25 percubaan dengan pasukan yang sama, kami tidak dapat menjaringkan sebarang gol dan ia dikatakan sebagai kami sedang mengalami krisis!

"Kami mempunyai dua separuh masa yang berbeza (ketika menentang Madrid). Dalam babak pertama, mereka lebih baik daripada kami dan kami tidak dapat memberikan aksi terbaik kerana mereka memberikan tekanan di beberapa kawasan.

"Rentak kami amat perlahan dan kami tidak dapat menghampiri gawang mereka.

"Dalam babak kedua, kami beraksi dengan semangat tinggi.

"Apa yang membawa perubahan itu adalah keinginan kami.

"Kami tidak menunjukkan keinginan untuk menyerang dalam babak pertama kerana tekanan yang diberikan mereka.

"Namun, dalam babak kedua, kami berjaya melakukannya," katanya.

Advertisement

Must Watch Video