Bagaikan magnet kepada drama yang tidak berkesudahan, United dan Ten Hag bagaikan tidak diberikan kesempatan untuk fokus sepenuhnya terhadap persembahan di atas padang gara-gara apa yang berlaku di luarnya sepanjang beberapa minggu lalu.
United kehilangan dua pemain sayap kanan pasukan, Antony dan Jadon Sancho, atas faktor yang langsung tidak melibatkan kecederaan mahupun pergantungan perlawanan.
Antony disisihkan akibat siasatan polis yang melibatkan kes mencederakan seorang wanita manakala Sancho pula diketepikan gara-gara dilaporkan berang dan kecewa setelah menerima layanan tidak adil daripada Ten Hag tentang prestasi dirinya.
Di sebalik drama, ketiadaan kedua-dua pemain itu seolah-olah tidak mendatangkan sebarang perbezaan pun kerana persembahan United sama sekali mengecewakan dan langsung tidak memberikan rasa teruja buat penyokong di gelanggang sendiri.
Kemenangan pada hujung minggu lalu merupakan kemenangan keempat berturut-turut buat Brighton ke atas United sejak bulan Mei 2022, menandakan bahawa evolusi dan kemajuan United masih jauh dari tahap sepatutnya.
Laporan The Guardian menyorot perbezaan nilai pemain kedua-dua pasukan – kesebelasan United bernilai £347 juta (RM2 bilion) manakala Brighton pula hanya £17 juta (RM99 juta) secara keseluruhan.
Defeat at Old Trafford.#MUFC || #MUNBHA
— Manchester United (@ManUtd) September 16, 2023
Nyatalah perbezaan besar itu tidak diterjemahkan di atas padang, malah sebaliknya pula yang berlaku.
Ketiadaan pemain sayap kanan memaksa Ten Hag melakukan formasi 4-1-3-2, di mana barisan pemain tengah membentuk formasi berlian, dengan Casemiro sebagai pemain tengah bertahan di belakang Scott McTominay dan Christian Eriksen manakala Bruno Fernandes beraksi sebagai pemain tengah menyerang di belakang pasangan Rasmus Hojlund dan Marcus Rashford.
Formasi itu bagaimanapun gagal mengekang Brighton daripada menguasai perlawanan hasil kreativiti pemain tengah, Pascal Gross, dan hantaran tajam bek kiri, Tariq Lamptey, yang melakukan bantuan jaringan sebanyak dua kali.

Pemain yang biasanya menjadi sandaran United di bahagian pertahanan, Lisandro Martinez, kelihatan tidak bermaya dan melakukan kesilapan mudah sejak awal perlawanan, seolah-olah memberi petanda bagaimana pengakhiran United kemudiannya.
Satu-satunya perkara positif adalah penyerang baru mereka, Hojlund, kelihatan cukup berbisa dalam perlawanan sulungnya sebagai pemain kesebelasan utama dan semakin menyesuaikan diri dengan corak pasukan.
Dia bagaimanapun kurang bernasib baik kerana terpaksa menelan hakikat jaringannya dibatalkan kerana bola telah pun keluar padang sewaktu hantaran kepadanya dilakukan.
Penyokong di Old Trafford nyata mendambakan aksinya buat tempoh yang lebih lama dan mencemuh dengan kuat sewaktu Ten Hag menggantikan dia dengan Anthony Martial pada separuh masa kedua.
Ten Hag menyebut tentang sesuatu yang menarik dalam temu bual pasca perlawanan, “Sekarang ini adalah waktunya untuk kami melihat betapa kuatnya diri kami dan menyaksikan siapakah yang bakal muncul untuk membimbing pasukan keluar dari kemelut.”
Aksi seterusnya adalah menentang pasukan yang jauh lebih kuat dari Brighton -- juara Bundesliga, Bayern Munich, dalam aksi Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Apa yang mampu penyokong United harapkan adalah kebangkitan daripada aksi longlai, juga akan pengakhiran segala drama yang hanya mendatangkan rasa menyampah kepada semua.