Skip to main content

Sukan Lain

MACE: Bekas atlet puji inisiatif MSN perkasa kesihatan, masa depan atlet

MACE

Pembukaan rasmi MyAthlete Centre (MACE) oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuka lembaran baharu dalam landskap pembangunan atlet negara, dengan penekanan menyeluruh terhadap kebajikan, kesihatan mental dan jaminan masa depan mereka.

Inisiatif ini dilihat sebagai pelengkap kepada ekosistem sukan berprestasi tinggi negara, bukan sahaja dalam aspek latihan dan pencapaian, malah merangkumi kesejahteraan menyeluruh atlet secara 360 darjah.

Advertisement

Bekas atlet kebangsaan yang juga juara dunia 2017, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, amat berbangga atas usaha proaktif kerajaan dalam merealisasikan pusat sehenti berkonsepkan hibrid ini yang disifatkan amat relevan dengan keperluan atlet masa kini.

Mengimbau pengalamannya sebagai atlet sekitar 17 tahun lalu, beliau menyifatkan kemudahan pada ketika itu masih asas dan terhad.

“Jadual latihan atlet masa kini sangat padat dan mencabar, bukan sahaja daripada sudut fizikal malah mental. Sebelum ini, kekurangan ruang rehat yang interaktif menyebabkan atlet lebih banyak menghabiskan masa dengan telefon pintar, yang sebenarnya kurang membantu proses pemulihan secara optimum.

“Dengan adanya MyAthlete Centre, atlet kini mempunyai ruang khas untuk ‘reset’ minda. Fasiliti rekreasi seperti bilik karaoke dan ruang permainan membolehkan mereka melepaskan tekanan serta berinteraksi dalam persekitaran yang sihat dan positif,” jelas beliau.

Dalam masa sama, Afifah yang dilantik sebagai Spokesperson tekad memanfaatkan pengalaman luasnya bagi merapatkan jurang komunikasi antara atlet, selain menyalurkan maklumat kepada masyarakat.

“Berdasarkan pengalaman lalu, atlet junior kadangkala berasa segan untuk menyuarakan pandangan kepada pegawai pengurusan. Peranan kami sebagai jurucakap adalah menjadi pengantara — sebagai ‘kakak’ atau ‘abang’ yang boleh mereka dekati dengan selesa, sama ada berkaitan isu prestasi mahupun kesihatan mental.

“Pada masa sama, kami turut membantu MSN mempromosikan program pembangunan diri seperti pengurusan kewangan, keusahawanan dan pembinaan penjenamaan peribadi (personal branding) yang positif di media sosial,” tambahnya.

Sementara itu, bekas ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, menyifatkan pusat ini sebagai lembaran baharu apabila ia bakal diuruskan sendiri oleh barisan atlet.

Menurut beliau, pendekatan tersebut membuka peluang keemasan kepada atlet untuk menceburi bidang keusahawanan secara praktikal, sekali gus membantu menyediakan jaminan kewangan dan hala tuju kerjaya selepas bersara.

“Lebih istimewa, pusat ini akan diuruskan sendiri oleh atlet. Ia merupakan platform keusahawanan yang sangat praktikal dan proaktif hasil cetusan idea MSN dan KBS,” katanya.

Pelancaran MyAthlete Centre membuktikan komitmen berterusan MSN dan KBS dalam memastikan atlet negara bukan sahaja cemerlang di pentas antarabangsa, malah sentiasa terbela dari aspek kesejahteraan mental serta perancangan masa depan.

MyAthlete Centre telah dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufik Johari, pada 26 Februari 2026. Ia merupakan pusat pertama seumpamanya di Malaysia yang berfungsi sebagai ruang riadah dan santai khusus buat atlet negara — satu simbol transformasi baharu dalam landskap pembangunan sukan tanah air.

Must Watch Video