Skip to main content

Bola Sepak

Cabutan bertuah, iftar menanti penyokong JDT

liga super

Menjelang aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sanfrecce Hiroshima, di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), penyokong setia JDT bakal disajikan dengan tawaran yang cukup istimewa.

Perlawanan yang dijadual bermula jam 8.15 malam esok bukan sahaja menjanjikan aksi berintensiti tinggi di atas padang, malah turut menawarkan pelbagai ganjaran menarik buat penyokong yang hadir memberikan sokongan.

Advertisement

Antara hadiah utama yang menanti adalah cabutan bertuah berupa sebuah motosikal, pas bermusim musim 2026/27 bernilai RM399 (tiga pemenang), akses premium hospitaliti (empat pemenang), akses ke red & blue lounge (empat pemenang) serta barangan rasmi JDT bernilai RM200 (tujuh pemenang).

Lebih menarik, nombor tempat duduk pemenang akan dicabut ketika waktu rehat separuh masa dan diumumkan terus menerusi platform media sosial rasmi kelab. 

 

 

Bagaimanapun, pihak kelab memaklumkan penyertaan cabutan bertuah ini hanya boleh disertai oleh pemegang tiket serta pas bermusim yang hadir sahaja, di mana secara automatik bakal melayakkan mereka untuk dipilih sebagai pemenang.

Dalam masa sama, bersempena bulan Ramadan, JDT turut mengambil kesempatan menyediakan juadah berbuka puasa khas buat para penyokong yang hadir. 

 

 

 

Inisiatif ini bertujuan memastikan peminat dapat menunaikan kewajipan berpuasa dengan selesa sebelum menyaksikan perlawanan penting tersebut.

Antara juadah berbuka puasa yang akan disediakan seperti bubur lambuk, nasi beriani, nasi lemak, ayam gunting, mi kawah, buah-buahan, minuman dan banyak lagi. 

Selain itu, jualan trak makanan, ruang solat dan kemudahan tandas turut disediakan bagi memudahkan lagi urusan pengunjung yang hadir.

Inisiatif berkenaan jelas mencerminkan komitmen harimau selatan dalam menghargai sokongan padu penyokong dengan memastikan kebajikan mereka dipelihara.

Must Watch Video