UCL
United dibelenggu kemelut semula
“Semua ini akan berubah. Akan tiba satu detik musim ini di mana segala-galanya akan memihak kepada kita,” ujar pengurus Manchester United, Erik Ten Hag, dalam temu bual pasca perlawanan selepas tewas 4-3 kepada FC Copenhagen awal pagi semalam.
Sama ada benar detik itu akan datang atau tidak, tiada siapa tahu. Tetapi untuk kekal positif dalam keadaan sebegini memerlukan kekuatan hati yang teramat tinggi tahapnya.
Kekalahan semalam mengakibatkan United berada di tangga tercorot Kumpulan A, Liga Juara-Juara UEFA (UCL), dengan baki dua perlawanan lagi menentang Bayern Munich yang mudah membenamkan mereka sebelum ini, serta Galatasaray di gelanggang pasukan Turki itu.
Iklan
Melainkan keajaiban berlaku, United hampir pasti sekali lagi tersingkir di peringkat kumpulan tahun ini.
Dalam Liga Perdana Inggeris pula, mereka sekadar mampu menduduki tangga kelapan dengan rekod enam kali menang dan lima kali kalah setakat ini.
Sepanjang bulan lepas, mereka sekadar mampu menang tipis apabila berhadapan kelab-kelab kerdil seperti Fulham, Brentford dan Sheffield United, tetapi serta-merta dibelasah apabila menentang musuh tradisi merangkap pendahulu liga, Manchester City.
Harus diingatkan ada antara kemenangan itu dikecapi hasil gol minit-minit akhir, bukan hasil persembahan meyakinkan sepanjang 90 minit.
Tidak lupa juga, mereka telah tersingkir daripada perebutan Piala Carabao, satu-satunya piala yang mereka menangi musim lalu. Bak kata pepatah, bagai retak menanti belah, begitulah keadaan United ketika ini.
Ten Hag mendatangkan kegirangan dan harapan berdasarkan gayanya yang tegas dan berkaliber sepanjang musim lalu tetapi ceritanya sungguh berbeza sekarang.
Dia menyalahkan kekalahan terbaru menentang FC Copenhagen atas keputusan pengadil melayangkan kad merah terhadap Marcus Rashford sedangkan United mendominasi perlawanan sebelum kejadian itu berlaku.

Ten Hag malangnya tidak memberikan komen terhadap kekasaran yang dilakukan Rashford itu – membenamkan but berserta pepaku pada kaki pemain lawan.
Menyebut tentang Rashford, pemain itu merupakan salah seorang kunci utama kejayaan United musim lalu, dengan menjaringkan 30 gol secara keseluruhan.
Ketika itu, Rashford bangkit semula dari episod pilu yang dilalui sewaktu kejohanan Euro 2020, di mana dia dicemuh seluruh negara kerana gagal menyempurnakan sepakan penalti untuk pasukan kebangsaan England.
Apa yang dilihat sekarang adalah dia seolah-olah kembali semula ke keadaannya dalam tempoh sukar tersebut – beraksi tanpa semangat dan tidak konsisten dalam pelbagai aspek.
Ini diburukkan lagi beberapa minggu lalu apabila dia didedahkan telah keluar berparti di kelab malam selepas kekalahan di tangan City -- satu kesalahan yang semestinya mendatangkan keberangan Ten Hag.
Satu artikel dalam Daily Mail mencadangkan bahawa perpisahan Rashford dengan tunangnya adalah salah satu penyebab besar kepada kemerosotan persembahannya tetapi hakikat sebenar hanya dia yang tahu.
Banyak juga sumber yang menuding jari ke arah pelbagai pemain lain seperti Antony, Casemiro dan Andre Onana, mengkritik prestasi mereka yang mengecewakan, tetapi apabila direnungkan semula, tidakkah melampau untuk meletakkan beban kesalahan di bahu pemain tertentu semata-mata?
United berada dalam kemelut tetapi ia adalah satu masalah yang harus diselesaikan bersama dengan sumbangan setiap pemain berserta pengurus juga.
Sama ada percaya atau tidak dengan kata-kata Ten Hag yang memberikan alasan baru saban minggu, ada kebenaran dalam ucapannya tentang dominasi United di peringkat awal perlawanan semalam.
Jika prestasi sebegitu mampu dikekalkan secara konsisten serta tidak goyah setiap kali pihak lawan mula bangkit semula, akan kembalilah United yang dirindukan semua.
Must-Watch Video