Skip to main content

Bola Sepak

Tuchel jangka Cavani, Paredes kekal bersama PSG

cavani.jpg
Thomas Tuchel menjangkakan Edinson Cavani dan Leandro Paredes akan kekal sebagai pemain Paris Saint-Germain (PSG) selepas jendela perpindahan bulan ini. 

Penyerang terbaik PSG sepanjang zaman itu bergelut untuk menempatkan diri dalam pasukan utama sejak kehadiran Mauro Icardi secara pinjaman dan telah dikaitkan dengan Atletico Madrid.

Pemain antarabangsa Argentina, Paredes, juga dilaporkan mencari jalan keluar selepas kemunculannya dalam skuad utama musim ini dibatasi dengan lapan perlawanan, namun Tuchel telah meletakkan kepercayaannya terhadap kedua-dua pemain berkenaan.

"Paredes kerap beraksi tahun lalu," katanya. "Dia menunjukkan bahawa dia mampu menjadi nadi dan mempengaruhi permainan kami.

"Berkenaan Edinson, saya sudah mengatakannya sebelum ini -- ia menjadi situasi sukar apabila dia ditimpa kecederaan yang membuatkannya kehilangan rentak tatkala yang lain beraksi dengan baik.

"Tetapi dia ada di sini, dalam minda yang baik dan semua pemain perlu bersedia dengan cara terbaik untuk diturunkan apabila diperlukan.

"Saya mempercayai mereka dan fikir mereka akan kekal. Tidak perlu bayangkan apa-apa lagi."

Sementara itu, duo Juventus, Mattia De Sciglio dan Emre, dikaitkan dengan perpindahan ke Parc des Princes sambil pengurus berbangsa Jerman itu tidak menolak untuk menandatangani kontrak baru.

"Apa-apa jua boleh berlaku tetapi saya tidak meminta apa-apa," katanya. "Saya berpuas hati dengan pasukan dan pemain saya yang ada ketika ini. Saya suka bekerja dengan mereka dan kami mempunyai hubungan yang baik.

"Tiada keperluan bagi pemain untuk pergi atau tiba. Jika ada pemain yang datang adalah baik tetapi seperti yang dikatakan Leonardo, dia akan mengurusnya dan saya perlu mengemudi sesi latihan. Jadi, saya bersikap tenang."

PSG akan kembali menyambung perjuangan setelah berehat dua minggu dan akan ke laman pasukan amatur, Linas-Montlhery, dalam pusingan 64 Coupe de France awal pagi esok. 

Mereka akan mengharungi tujuh perlawanan bulan depan, termasuk perlawanan timbal balik Ligue 1 bertemu Monaco dan Tuchel secara tidak langsung mengakui tidak dapat mengelak masalah kecederaan. 

"Kami akan melakukan segalanya yang kami mampu untuk melindungi pemain tetapi secara jujurnya, saya fikir kecederaan akan berlaku kerana ia sentiasa seperti itu," katanya.

PSG kehilangan khidmat Abdou Diallo, Thiago Silva dan Presnel Kimpembe untuk pertembungan dengan Linas-Montlhery yang beraksi dalam divisyen keenam Perancis.

Pemenang 12 gelaran Coupe de France itu menjadi pilihan untuk mara, begitupun Tuchel menuntut rasa hormat pemainnya terhadap kualiti lawan yang masih menjadi misteri. 

"Kami adalah pilihan untuk menang, itu jelas ketara," katanya. "Tetapi kami akan bermain dengan penuh hormat dan serius, kami mahu menang dan saya menantikan kemenangan.

"Demi rasa hormat terhadap lawan, kami perlu menghadapi perlawanan ini dengan serius dan kembali dahagakan kemenangan. Ia adalah perlawanan merebut piala, ia satu perlawanan yang mustahak dan kami di sini untuk menang.

"Saya tidak pernah melihat gelanggang mereka. Saya tidak fikir ia seperti Parc des Princes. Saya harap ia tidak akan berbahaya tetapi tidak mengapa, kami perlu menyesuaikan diri."




Editor: Shaiful Shamsudin
 

Advertisement

Must Watch Video