Skip to main content

Bola Sepak

Tiada kerdilnya cabaran Harimau Malaya di Qatar

harimau-malaya.jpg
Segala persiapan telah lengkap, taring telah diasah dan tahap kesediaan terbukti. Keputusan seri 2-2 dengan Syria dalam perlawanan memanas badan awal pagi tadi adalah tanda Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-Gon layak untuk berentap dengan penuh semangat di bumi Qatar selang enam hari sahaja lagi.

Skuad kebangsaan bermula garang apabila mendahului menerusi pemain sayap, Arif Aiman Hanapi, pada minit ke-39 tetapi kemudian ketinggalan kepada gol-gol Pablo Sabbag (m-70) dan Ibrahim Hesar (m-74). Paulo Josue menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-78.

Sukar untuk mengagak pilihan untuk kesebelasan utama kerana Pan-Gon memanfaatkan perlawanan itu untuk menurunkan kesemua pemainnya.

Sejak mendaratnya kesemua ahli skuad minggu lalu, laporan berita sukan saban hari dipenuhi kata-kata semangat yang menggesa baik pemain mahupun penyokong untuk meletakkan harapan dan kepercayaan terhadap kebolehan pasukan.

Tidak ketinggalan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, rangsangan dititipkan buat kesebelasan kita memberikan persembahan yang mengharumkan nama negara dan menidakkan tanggapan luar bahawa Malaysia sekadar pasukan kerdil yang menanti untuk dibelasah negara-negara lebih kuat.

Dalam kalangan berita yang dipamerkan, satu analisis ringkas bekas ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak, alam akhbar New Straits Times semalam cukup menarik perhatian dan padat dengan maklumat penting.

Ketika kesemua pihak melabelkan Korea Selatan sebagai cabaran utama, Hodak berpendapat bahawa perlawanan menentang Jordan adalah yang paling penting -- perlawanan pertama bakal menentukan rentak dan semangat pasukan dalam perlawanan-perlawanan yang akan datang, serta peluang untuk mendapatkan tiga mata awal tidak sesekali harus dilepaskan.

Perkara yang harus diingati adalah Jordan bakal beraksi bagaikan harimau yang terluka kerana kali terakhir mereka mengecap kemenangan adalah dalam aksi persahabatan menentang Jamaica pada Jun tahun lalu.



 

Biarpun dihantui dengan rentetan kekalahan sejak tempoh itu, mereka sebenarnya tewas di tangan pasukan-pasukan gergasi seperti Arab Saudi, Iran, malah Sepanyol dan juga Norway, bukannya di tangan negara-negara kerdil.

Jika mereka belajar daripada segala kekurangan dan berjaya memperbaikinya, Harimau Malaya tidak akan berhadapan dengan seteru yang mudah.

Perlawanan menentang Bahrain pula dianggap satu perang psikologi.

Kali terakhir Malaysia berjaya mengatasi negara itu adalah pada 1978, manakala tiga perlawanan di antara kedua-dua pasukan sepanjang 10 tahun lalu menyaksikan kemenangan sentiasa berpihak kepada Bahrain.

Jika tanggapan bahawa kita telah berkembang menjadi satu pasukan yang digeruni hendak dibuktikan, Bahrain harus ditumpaskan, malah kemungkinan besar perlawanan ini bakal menjadi perlawanan yang wajib dimenangi jika ingin terus kekal dalam pertandingan.

Menjelang tanggal 25 Januari, hari perlawanan menentang Korea Selatan, perkara yang harus kita perhatikan adalah barisan pemain manakah yang bakal mereka turunkan?

Jika Korea Selatan terlebih dahulu berjaya menumbangkan Jordan dan Bahrain, kelayakan ke pusingan kedua sudah pun dipastikan, maka ada kemungkinannya barisan pemain bintang mereka seperti Son Heung-Min, Lee Kang-In dan Kim Min-Jae bakal direhatkan, sekali gus mencerahkan peluang Malaysia untuk mencipta kejutan.

Jika Korea Selatan keciciran mata dalam perlawanan-perlawanan yang disebutkan tadi dan aksi menentang Malaysia bakal menentukan nasib mereka, dijangkakan kesemua bintang bakal turun ke padang dan apa yang menanti pastinya adalah perlawanan paling getir dalam sejarah Harimau Malaya sejak Pan-Gon menjadi pengendali.

Apa pun, lawan juga harus mengingati Malaysia sebagai pasukan yang mengejutkannya dengan kemenangan 2-1 hasil dua gol Safawi Rasid dalam perlawanan Kumpulan E, Sukan Asia 2018 di Bandung, Indonesia ketika Taeguk Warriors turut diperkuatkan oleh Heung-Min dan Hwang Hee Chan.

Apa yang paling penting adalah semangat pemain terus kekal utuh tidak kira apa pun keputusan yang dikecapi, serta laungan penyokong tidak sesekali pudar kekuatannya.

"Ia satu permulaan yang baik. Kita dapat bersaing dengan pasukan ranking ke-91 dunia. Saya gembira dengan persembahan pasukan pada babak pertama terutamanya.

"Kita beri minit permainan kepada ramai pemain dan membuat banyak pertukaran pada babak kedua. Saya gembira walaupun kita ketinggalan satu gol, kita berjaya menjaringkan gol dan menjadikan keputusan 2-2,” kata Pan-Gon.


 

Advertisement

Must Watch Video