Skip to main content

Bola Sepak

Tempoh kerjaya pemain bola sepak tempatan semakin pendek

jangka-hayat-pemain.jpg
Beberapa tahun dahulu, penglibatan pemain muda dalam liga bola sepak tempatan agak terhad apabila kebanyakan pasukan lebih didominasi pemain senior.

Namun, ia tampak berubah pada masa kini, malah sudah menjadi satu 'trend' di mana pemain senior disisihkan dan pemain muda lebih mendapat tempat.

Umum mengetahui kerjaya pemain bola sepak agak singkat berbanding kerjaya lain, di mana pemain bola sepak profesional lazimnya dalam lingkungan usia 20-35 tahun.

Gambaran ini lebih jelas berdasarkan statistik usia bagi pemain tempatan dalam Liga Malaysia pada musim 2016.

Ia menunjukkan rata-rata pasukan tidak menggunakan lebih daripada 10 pemain yang berusia 30 tahun ke atas kecuali Pulau Pinang untuk Liga Super dan PKNS FC untuk Liga Perdana.

Paling sedikit membariskan pemain pada usia 30 tahun ke atas adalah Kedah, Perak dan Negeri Sembilan. Kedah hanya mempunyai seorang pemain veteran, iaitu Shafizan Hashim, itupun dia tidak beraksi sepanjang musim ini.

Ia mungkin menjadi antara resipi kejayaan Kedah untuk menjuarai Piala Malaysia apabila tenaga muda menjadi taruhan utama jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Perkara itu turut membimbangkan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).

"Tahun lepas, ramai pemain yang bersara awal dan tahun lepas juga, skuad Harimau Muda dibubarkan.

"Jadi, ramai pemain skuad itu mengisi slot pasukan di Malaysia. Kebanyakan pemain yang tidak ditawarkan kontrak adalah pemain senior dan berpengalaman," kata Timbalan Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya.

Dengan beberapa hari lagi musim baru Liga Malaysia 2017 akan bermula, semua pemain sibuk untuk menentukan hala tuju masing-masing, sama ada kekal bersama pasukan asal atau berhijrah ke pasukan lain.

Didapati rata-rata pemain pada usia 30 tahun ke atas kini masih tidak mempunyai pasukan walaupun prestasi di kalangan mereka masih memuaskan selain bebas daripada kecederaan dan memiliki reputasi hebat.

Hakikat itu tidak dinafikan bekas pemain negara yang pernah berkelana ke Eropah, Rudie Ramli, yang terpaksa bermain dalam liga bawahan, Piala FAM, demi kelangsungan kariernya.

"Kebanyakan pasukan menggunakan pemain-pemain muda. Jadi, selepas pemain (senior) fikir mereka tiada pasukan, mereka berputus asa dan ia membuatkan mereka bersara awal. 

"Sesetengah daripada mereka masih beraksi dalam Liga Amatur, Liga Sosial. Bagaimanapun, ia dianggap bukan kerja sebab Liga Sosial itu hanya untuk suka-suka manakala Liga Amatur pun bayarannya tidaklah besar. Mereka juga bekerja lain untuk menanggung keluarga," kata Rudie.

Masalah ini berlaku juga kepada pemain-pemain di Eropah, Amerika Selatan mahupun Jepun dan Korea Selatan, cuma mereka mampu menembusi pasaran luar seperti kebanyakan pemain import yang beraksi di Malaysia.
 

Advertisement

Must Watch Video