LIGA SUPER MSIA
Tambahan 10 minit waktu kecederaan keputusan yang adil -- Mora
Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, berpendapat keputusan pengadil, Nazmi Nasaruddin, memberikan tambahan 10 minit waktu kecederaan ketika pasukannya menewaskan Negeri Sembilan FC semalam merupakan satu keputusan yang adil.
Dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu, Fernando Forestieri menjaringkan gol jarak jauh gemilang pada minit terakhir waktu kecederaan berkenaan untuk memastikan JDT meraih kemenangan dramatik 1-0, sekali gus kembali merampas kedudukan teratas Liga Super.
Keputusan memberikan tambahan masa 10 minit itu jelas tidak disenangi kem tuan rumah tetapi Mora berpendapat ia merupakan sesuatu yang wajar memandangkan Negeri Sembilan kerap melengah-lengahkan masa sepanjang 90 minit aksi sebenar.
Iklan
"Jika kita benar-benar bersikap adil dan mengambil kira semua waktu yang dibazirkan, saya fikir ia satu keputusan yang sangat adil," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Nadi Arena.
"Ia agak aneh kerana ia tidak selalu berlaku tetapi ia perlu berlaku untuk perlawanan ini dipertingkatkan dari masa ke masa.
"Dan juga untuk mendapat lebih banyak waktu bermain dan bukan hanya membazirkan masa.
"Tetapi ia terpulang kepada pengadil dan kami menghormati semua keputusannya.
"Saya fikir pengadil telah memberikan yang terbaik buat kedua-dua pasukan.
"Dan tentang 10 minit itu, saya fikir ia satu keputusan yang adil," katanya.
Dengan kemenangan itu, JDT kembali memintas skuad Jang berkenaan di tangga teratas Liga Super dengan 15 mata, satu mata mengatasi pencabar terdekat itu biarpun Harimau Selatan memegang kelebihan dua perlawanan dalam tangan.
*Kredit foto: Johor Southern Tigers
Must-Watch Video