Skip to main content

Bola Sepak

Suka-duka perjalanan Maguire berlanjutan

mcguire.jpg
Kisah perjalanan Harry Maguire dalam dunia bola sepak penuh dengan suka-duka, cukup menarik sehingga boleh diibaratkan bagai sebuah persembahan teater, selayaknya dengan gelaran ‘Theatre of Dreams’ yang diberikan kepada stadium Old Trafford milik Manchester United.

Babak pembukaan boleh dinamakan ‘Ketibaan Raja’.

Empat tahun lalu, jendela perpindahan dilanda keterujaan saat United melaburkan £80 juta (RM466 juta) untuk mendapatkan Maguire dari Leicester City, mengatasi rekod harga pembelian pemain pertahanan yang dahulunya dimiliki oleh perpindahan Virgil Van Dijk ke Liverpool.

Pada waktu itu, dalam proses menstabilkan semula pasukan, United teramat memerlukan seorang penyelamat di barisan pertahanan dan tanda harga setinggi itu semestinya meletakkan tekanan besar terhadap Maguire untuk menunjukkan persembahan yang melayakkan dirinya digelar pemain pertahanan paling mahal.

Pentas tersedia untuk perjalanan seorang wira, penyokong United bergembira membayangkan seorang lelaki gagah perkasa menghidupkan kembali harapan pasukan kesayangan mereka.

Babak kedua dalam teater ini dinamakan ‘Kegemilangan Seorang Kapten’.

Hanya selang beberapa bulan ketibaannya, Maguire dilantik sebagai kapten oleh pengurus United ketika itu, Ole Gunnar Solskjaer.

Ciri kepimpinan dan ketenangan dipamerkan dengan mantap sepanjang musim sulungnya, membolehkan dia meraih rasa hormat dan penghargaan penyokong dan rakan sepasukan.

Dengan lencana kapten terikat kuat di lengannya, Maguire dinobatkan sebagai cahaya yang membimbing kebangkitan United.

Musim itu menyaksikan United mengakhiri liga di tangga ketiga, dengan jumlah gol yang mereka bolos (36 gol) hampir sama kurangnya dengan Liverpool (33 gol) yang menjadi juara.

Kegemilangan yang cukup lama ditagih kelihatan semakin hampir dalam genggaman. Malang sekali, pepatah Inggeris ‘pride comes before a fall’ menyusul seterusnya.




Babak ketiga dinamakan ‘Jatuh Takhta’.

Bagaikan drama sinetron, pencapaian yang dibina oleh Maguire tercemar lewat satu pertelingkahan yang ketika bercuti di Greece sebelum musim 2020-21 bermula.


Akibat pertelingkahan itu, Maguire ditahan polis, dipenjarakan beberapa hari dan sehinggalah ke waktu ini, perbicaraan di mahkamah negara itu masih menunggu masa untuk diselesaikan.

Biarpun dia berkeras menyatakan dirinya tidak terkesan dengan kejadian itu, dia nyata tidak lagi sama seperti dahulu apabila musim baru bermula selang sebulan kemudian.

Bulan Oktober 2020 menyaksikan United dibelasah 6-1 oleh Tottenham Hotspur, dengan Solskjaer menggelarkan kekalahan itu sebagai hari paling perit dalam sejarahnya sebagai pengurus, manakala persembahan Maguire dilabelkan sebagai cukup mendukacitakan.

Musim 2020-21 menyaksikan United tetap kekal konsisten dan mengakhiri liga di tangga kedua pada penghujung musim, tetapi persembahan pasukan dan juga Maguire merudum teruk pada musim seterusnya sehinggakan mereka hanya mampu menduduki tangga keenam liga lalu terlepas peluang beraksi dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Sejak Erik Ten Hag dilantik menjadi pengurus baru United musim lalu, Maguire malangnya tidak lagi menjadi pilihan untuk kesebelasan utama kerana Ten Hag lebih selesa menurunkan pasangan Raphael Varane dan Lisandro Martinez di bahagian pertahanan tengah.

Jika salah seorang daripada Varane atau Martinez tercedera, Viktor Lindelof adalah pemain yang dipilih sebagai pengganti.

Apabila kedua-duanya cedera serentak, Ten Hag memilih untuk menggabungkan Lindelof dengan Luke Shaw, pemain bek kiri.




Begitulah betapa jauhnya tempat Maguire di mata pengurus itu.

Sehinggalah ke hari ini, Maguire gagal memenangi hati Ten Hag dan akhirnya turut sama kehilangan jawatan kapten apabila pengurus itu membuat keputusan untuk melantik Bruno Fernandes bagi peranan itu beberapa minggu lalu.




Dalam babak keempat dan juga pengakhiran, laporan pelbagai sumber media beberapa hari lalu mendedahkan United telah menerima bidaan bernilai £30 juta (RM174 juta) dari West Ham United untuk membeli Maguire, dan kini menantikan sama ada dia bersetuju untuk berpindah ataupun tidak.

Perpindahan ke kelab lebih kerdil bermakna Maguire harus akur dengan pemotongan gaji kerana West Ham semestinya tidak mampu menyaingi jumlah gaji yang United berikan, tetapi ia menjanjikan peluang untuknya kembali beraksi dalam kesebelasan utama secara konsisten, juga mencerahkan harapan untuk dia kekal dalam skuad utama pasukan kebangsaan England.

Babak terakhir ini tidak diberikan nama kerana tiada siapa boleh menjangka apakah nasib Maguire seterusnya.

Wira Bangkit Semula? Wira Yang Kecundang?



 

Advertisement

Must Watch Video