Skip to main content

Bola Sepak

Subahan lepaskan jawatan pada 3 Julai

egm-fas.jpg
Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal, akan melepaskan jawatan presiden yang dipegang sejak 21 bulan lalu pada 3 Julai depan kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Proses peralihan kuasa itu akan berlangsung dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) FAS yang akan diadakan pada 3 Julai depan dengan hanya melibatkan jawatan presiden.

Subahan menegaskan dengan tempoh sebulan yang tinggal, beliau masih lagi presiden FAS yang sah sehingga pada tarikh yang telah ditetapkan oleh perwakilan FAS ketika mesyuarat exco yang berlangsung di bangunan FAS, hari ini.

"Sudah sampai masanya saya melepaskan jawatan ini kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

"Dari awal lagi kami mahu Tengku Amir Shah di dalam pengurusan namun terhalang atas beberapa sebab.

"Ini masa yang tepat (untuk saya melepaskan jawatan) kerana komitmen saya yang begitu banyak," kata Subahan.

Subahan turut memberikan jaminan segala tunggakan bonus dan kelewatan pembayaran gaji sejak tiga minggu lalu akan diselesaikan segera.

"FAS tidak berhutang kepada sesiapapun dan semuanya telah dijelaskan. 

"Seperti yang saya katakan, sebelum saya pergi, saya akan pergi dengan cara yang betul kerana saya seorang yang bertanggungjawab.

"Semua hutang dan bonus sudah dibayar," katanya lagi. 

Subahan memegang tampuk presiden pada 23 Febuari 2017 bagi penggal 2017 hingga 2021.

Advertisement

Must Watch Video