Skip to main content

Bola Sepak

Spurs ratapi kecederaan hamstring Kane

kane.jpg
Harry Kane mengalami kecederaan hamstring kaki kirinya dalam kekalahan kepada Southampton dalam aksi tahun baru, Rabu lalu, demikian Tottenham mengesahkannya.

Kenyataan singkat di laman sesawang Spurs itu bagaimanapun tidak menawarkan maklumat mengenai sejauh mana tahap kecederaannya atau tempoh dia akan pulih. 

Kelab itu menyatakan bahawa kakitangan perubatan akan terus mengawasi tahap dan rawatan kecederaannya. 

Bercakap kepada media sebelum pertembungan pusingan ketiga Piala FA dengan Middlesbrough, pengurus, Jose Mourinho, berkata dia khuatir mengenai kecederaan itu.

"Saya dapat rasakan lebih banyak berita buruk daripada yang baik, itulah perasaan saya," katanya.

"Apa yang dideritai pemain itu, cara Harry Kane meninggalkan padang (membuktikan) dia tidak perlu memikirkannya dua kali. Dia tidak perlu berfikir dua kali bagi menyedari sejauh manakah keadaannya selain beberapa pendapat yang dilontarkan oleh jabatan perubatan sebelum ujian keputusan kecederaannya dikeluarkan.

"Saya tidak fikir bahawa kami akan menerima berita baik.

"Saya tidak bagus melabel tahap kecederaannya. Tetapi saya mempunyai pengalaman serta naluri mengenainya dan sekali lagi saya tidak menjangkakan berita yang sangat baik.

"Saya berasakan kami akan kehilangannya untuk beberapa waktu dan saya yakin sepenuhnya kerana saya sudah boleh menjangkakannya tetapi saya tidak mahu menangisinya dalam setiap sidang akhbar. 

"Semua orang mengenali keupayaannya, maksud kehadirannya untuk pasukan, peminat, kelab.

"Kualitinya, rutin peranan yang dimainkannya akan kami rindui setiap minit."

Kane menerusi Twitter terlebih dahulu memaklumkan: "Berjuang. Tempoh sukar ini tidak akan kekal lama, orang yang kental akan kekal lama."

Koyakan tahap satu kebiasaannya akan mengakibatkan pemain tersisih selama tiga minggu tetapi tahap dua pula lebih teruk dan bakal menyaksikan Kane terpinggir sekitar dua bulan. 

Pemain berusia 26 tahun itu telah menyumbat 11 gol dalam 20 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat Spurs musim ini yang berada di tangga keenam, enam mata dipisahkan dengan empat pasukan teratas susulan seri 2-2 di Norwich City dan tewas 0-1 kepada The Saints.



Editor: Shaiful Shamsudin

Advertisement

Must Watch Video