Skip to main content

Bola Sepak

Spalleti puji kerja keras Nerazzurri

inter.jpg
INTER 4 RAPID VIENNA 0
(Inter mara dengan agregat 5-0)

Pengurus Inter, Luciano Spalletti, menegaskan kebangkitan pasukannya kebelakangan ini tiada kena-mengena dengan ketiadaan penyerang, Mauro Icardi.


Nerazzurri melepasi halangan Rapid Vienna 4-0 di San Siro dalam awal aksi awal pagi tadi untuk menempah tempat dalam pusingan 16 Liga Europa menerusi agregat 5-0 -- kemenangan keempat berturut-turut mereka selepas empat perlawanan tanpa kemenangan.

Kemenangan terbaru itu hadir tanpa Icardi yang kini disisihkan dalam tiga perlawanan terakhir membabitkan Inter di sebalik spekulasi bahawa dia akan meninggalkan kelab itu setelah dilucutkan jawatan kapten.

Tidak percaya peningkatan prestasi Inter itu adalah kerana semangat berpasukan yang lebih baik yang dipengaruhi ketiadaan Icardi, Spalletti menyifatkannya sebagai sesuatu yang lebih mudah, iaitu kerja keras.

"Adalah benar untuk mengatakan bahawa prestasi Inter semakin bagus dan kami semakin kurang mengulangi kesilapan sebelum ini, namun adalah tidak adil untuk membangkitkan hal selain daripada itu dalam tempoh ini," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Mari kita lihat dari sudut yang tepat. Barisan pemain saya telah bekerja keras dan semakin kurang melakukan kesilapan.

"Usahlah sepanjang masa kita bercakap mengenai (Icardi). Marilah kita fokus kepada pemain yang telah beraksi hari ini. Mereka bermain, berlari, menendang dan tidak menghiraukan realiti di luar padang. 

"Kami cuba untuk mencapai tahap ini secara normal, tanpa prestasi turun naik. Kami perlu mencari jalan untuk mengatasinya kerana musim lalu juga kami melalui tempoh yang baik dalam beberapa detik sahaja."

Biarpun penjaga gawang, Samir Handanovic, telah mengambil alih tugasan selaku ketua pasukan daripada Icardi, dia menegaskan beberapa pemain senior akan bertindak memimpin pasukan itu. 

"Lilitan kapten bukanlah gelaran bangsawan atau trofi," katanya.

"Ia adalah satu tanggungjawab yang besar dan di Inter, ia adalah satu penghormatan. Kami bukan setakat memerlukan seorang sahaja yang memakai lilitan kapten ini, bahkan kami memerlukan lima atau enam pemimpin yang boleh membawa pasukan ini ke hadapan tanpa mengira siapa yang memainkan peranan sebagai ketua pasukan."
 

Advertisement

Must Watch Video