Skip to main content

Bola Sepak

Situasi semasa tidak memihak pemain -- Presiden PFAM

safee-sali.jpg
Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali, mengakui situasi semasa tidak memihak pemain ekoran tuntutan yang perlu dilaksanakan persatuan bola sepak negeri dan kelab menjelang musim baru Liga Malaysia bulan depan.

Masalah pemain tidak memiliki pasukan menjelang musim baru ini memberikan tamparan hebat memandangkan mereka masih relevan di atas padang.

Syarat-syarat yang diletakkan penganjur, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), dalam proses pelesenan kelab turut menyumbang kepada situasi itu kerana setiap pasukan kini perlu lebih berhati-hati dalam memilih pemain.

Safee tidak menolak situasi berkenaan akan lebih membebankan pemain senior kerana perlu mempertimbangkan tawaran gaji yang lebih rendah berbanding sebelum ini.

"Susah nak cakap kerana kita tahu (perbelanjaan) pasukan amat-amat terhad.

"Ketiadaan wang geran juga memainkan peranan.

"Mungkin setiap pasukan kini lebih berhati-hati dalam berbelanja kerana mereka sedar tiada geran untuk tahun ini," katanya.

Lambakan pemain muda juga menjadi faktor pendorong kepada situasi itu.

Safee melihatnya sebagai sikap tamak persatuan dan kelab untuk mendapatkan pemain yang belum tentu dapat memenuhi potensi di peringkat domestik.

"Saya rasa pihak pengurusan (pasukan) juga terburu-buru untuk mengambil pemain daripada AMD (Akademi Mokhtar Dahari).

"Saya fikir, pada peringkat ini, mereka belum layak lagi untuk beraksi di pentas tertinggi Liga Malaysia," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa

Advertisement

Must Watch Video