Skip to main content

Bola Sepak

Simeone mohon maaf kerana keraian melampau

simeone.jpg
Diego Simeone berkata dia hanya mahu membuktikan kepada penyokong Atletico Madrid bahawa pasukannya memiliki "kelelakian" ketika dia meraikan gol dengan cara meramas kelangkangnya ketika menewaskan Juventus 2-0 dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi. 

Ketua jurulatih Atletico itu hilang pertimbangan sebaik Jose Giminez menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-78 selepas jaringan awal Alvaro Morata dibatalkan sitem video bantuan pengadil (VAR).

Diego Godin menambah duka pelawat menerusi jaringan kedua di Wanda Metropolitano yang akan memberikan laluan berliku buat Juve untuk layak ke suku akhir.

Simeone menyatakan cara keraian seperti itu kerap dilakukannya sewaktu bergelar pemain, namun memohon maaf kepada pihak yang terkesan dengan kelakuannya itu.

"Saya pernah melakukan perkara itu ketika beraksi dengan Lazio dan Bologna dan saya lakukannya sekali lagi hari ini untuk membuktikan pasukan kami memiliki kelelakian," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Saya tidak menujukannya kepada pasukan lawan, saya menunjukkannya kepada penyokong kami.

"Ia bukan tingkah laku yang baik, saya mengakuinya, namun saya berasakan ia perlu dilakukan.

"Ia merupakan perlawanan yang sukar. Kami berusaha keras dan Diego Costa telah beraksi baik walaupun tidak cukup cergas.

"Saya perlu menunjukkan apa yang saya rasa.

"Saya boleh memohon maaf kepada sesiapa yang terkesan, namun ia lahir daripada hati saya," katanya.

Atletico menamatkan kempen peringkat kumpulan di tangga kedua di belakang Borussia Dortmund.

Mereka tewas 0-4 di Jerman sebelum bangkit menewaskan lawan itu 2-0 di laman sendiri.

"Kami perlu beraksi hebat seperti sewaktu kami menentang Borussia Dortmund.

"Kami akan kembali diperkuat dengan Koke dan Costa, kami akan dapat beraksi bijak menentang pasukan besar dengan pemain yang hebat.

"Kami perlu memanfaatkan setiap situasi yang tiba, ia adalah keputusan yang amat baik.

"Kami tahu kami akan berdepan pasukan yang hebat, kelab yang hebat dan juara yang hebat di Turin.

"Kami sudah bersedia untuk menderita dalam perlawanan timbal balik," tambahnya.

Aksi timbal balik akan berlangsung di Turin, 12 Mac depan.

Advertisement

Must Watch Video