LIGA SUPER MSIA
Sharbinee alami kanser darah, bukan kanser paru-paru
Penjaga gol berpengalaman, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang kepada pasukan barunya, Kuala Lumpur, sebaliknya mahu memberi yang terbaik bagi mengatasi krisis penjaga gol yang menjadi masalah utama skuad Warga Kota itu sepanjang musim ini.
Kuala Lumpur menjadi pasukan paling banyak dibolosi dalam Liga Super musim ini, iaitu sebanyak 27 gol.
Sebahagiannya berpunca daripada kelemahan posisi penjaga gol dan walaupun telah menggunakan tiga pemain berbeza, masalah sama masih berulang.
Iklan
Justeru, Sharbinee yang baru pulih daripada masalah kesihatan diharap mampu menjadi penyelamat bagi membantu Kuala Lumpur keluar daripada zon bawahan liga.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Kuala Lumpur kerana memberi kepercayaan kepada saya walaupun saya memiliki (rekod) perubatan seperti ini.
"Saya janji akan balas kepercayaan itu dengan memberikan yang terbaik untuk Kuala Lumpur," ujarnya.
Sementara itu, Sharbinee menjelaskan bahawa dia bukannya menghidap kanser paru-paru seperti diperkatakan semua pihak.
Sebaliknya, dia mendapat kanser darah, namun masih di peringkat awal serta boleh dirawat.
"Sebelum ini, ramai orang fikir saya kena kanser paru-paru. Jadi, saya mahu perbetulkan di sini, sebenarnya saya bukan kena kanser paru-paru.
"Saya cuma kena kanser darah di mana kanser ini orang kata boleh baik," katanya lagi.
Must-Watch Video