Skip to main content

Bola Sepak

Setien tetap senang dengan skuad sedia ada Barca

setien.jpg
Quique Setien akan mengalu-alukan ketibaan baru di Barcelona bulan ini meskipun gembira dengan pilihan pemain yang ada untuk baki musim ini.

Kesepakatan untuk menandatanganinya Rodrigo Moreno menjadi topik hangat selepas pengurus Valencia, Albert Celades, semalam mengesahkan kedua-dua kelab itu sedang berunding mengenai masa depan pemain antarabangsa Sepanyol tersebut.

Bagaimanapun, laporan di media Catalan menganggap perpindahan itu tidak akan berlaku dan akan meninggalkan Barca tanpa pengganti kepada penyerang yang tercedera, Luis Suarez, yang menderitai kecederaan lutut.

Setien mengesahkan juara bertahan LaLiga itu berminat untuk menambah pilihan pemain sebelum jendela perpindahan bulan ini ditutup biarpun bersedia untuk memburu tiga kejuaraan bersama skuad sedia ada. 

"Pertama sekali, saya gembira dengan apa yang saya ada dalam skuad ini," katanya kepada media menjelang perlawanan Copa del Rey dengan Leganes, awal pagi esok. 

"Kami tidak menolak bahawa mungkin akan membawa masuk pemain baru tetapi saya sentiasa memberi tumpuan kepada apa yang saya ada.

"Jika ada pemain yang masuk, mereka akan dialu-alukan. Sekiranya ia tidak berlaku, saya gembira dapat bekerjasama dengan skuad yang saya ada.

"Saya ke mari ketika bertugas bersama pasukan lain, saya sudah biasa bekerja dengan apa yang saya ada, saya yakin pasukan ini sudah bersedia untuk bersaing dalam setiap kejohanan."

Meskipun belum ada pemain baru yang tiba bulan ini, Carles Perez hampir pasti meninggalkan Camp Nou.

Pemain berusia 21 tahun itu merupakan pemain sokongan di bawah asuhan Ernesto Valverde dan pengurus baru, Setien, musim ini tatkala Roma dikhabarkan bakal menjadi destinasi seterusnya.

Ditanya mengapa Perez tidak diberi banyak peluang di peringkat awal bimbingannya, Setien berkata: "Ini merupakan keputusan bersama (dengan kelab). Apa yang saya beritahu kepada pemain adalah sangat jelas -- realitinya saya tidak akan bercakap tentang perkara peribadi.

"Ini keputusan kelab dan saya menyuarakan pendapat saya -- inilah yang berlaku."

Setien juga enggan mengetepikan mengenai pemain lain yang akan angkat kaki dengan menambah: "Saya tidak dapat menjamin apa-apa -- kita akan lihatnya selepas ini. Ini adalah keputusan yang dibuat oleh kelab. Merekalah yang bertanggungjawab untuk membuat keputusan terbaik."

Editor: Shaiful Shamsudin 

Advertisement

Must Watch Video