Berita sensasi dunia bola sepak terus berkisar tentang Manchester United tetapi bukan disebabkan persembahan mereka di atas padang.
Beberapa minggu lalu, kontroversi melanda akibat kelakuan pemain, Mason Greenwood, yang dituduh melakukan jenayah berat terhadap seorang wanita.
Skrip yang sama kini berulang dengan cukup ironi kerana melibatkan seorang lagi penyerang United, Antony.
Malang sekali, kedua-dua kes pemain itu mendedahkan ketidakcekapan kelab terkemuka dunia ini, terutama dalam hal-ehwal kepimpinan, perhubungan awam dan tidak sensitif terhadap hakikat dunia moden.
Baru-baru ini, Antony dituduh mencederakan bekas teman wanitanya berserta ugutan bunuh, menyebabkan laporan rasmi dibuat oleh wanita itu.
Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF) pantas mengambil tindakan untuk menggugurkan Antony daripada pasukan kebangsaan untuk menentang Bolivia dan Peru dalam kelayakan Piala Dunia yang akan datang ‘demi melindungi mangsa, pemain serta skuad kebangsaan Brazil secara keseluruhan’.
Sebaliknya, kenyataan yang dikeluarkan United pula berbeza sama-sekali.
“Manchester United memperakui dakwaan terhadap Antony dan maklum pihak polis sedang menjalankan siasatan. Pihak kelab tidak akan memberikan sebarang kenyataan lanjut sehingga lebih banyak maklumat diperoleh.”
Kenyataan itu mendatangkan amarah dan rasa tidak puas hati banyak pihak yang masih lagi belum reda selepas episod Greenwood yang lalu.

Di sini kita harus renungkan nasib yang melanda United.
Masalah persembahan di atas padang berserta dengan reputasi yang merudum akibat isu penjualan kelab sudah lebih daripada cukup untuk memeningkan kepala, kini ditambah pula dengan kontroversi pemain.
Tidak seperti pasukan kebangsaan Brazil, United tidak mempunyai ramai pemain yang boleh menggantikan Antony di bahagian sayap kanan, lebih-lebih lagi apabila pemain yang paling layak menjadi sandaran, Jadon Sancho, dilaporkan teramat kecewa dengan layanan yang diberikan terhadapnya baru-baru ini.
Justeru, mereka memilih untuk menelan kritikan pedas dan ‘belasahan’ pihak awam demi melindungi pemain penting dan memastikan peluang untuk mencatat kemenangan dalam perlawanan-perlawanan akan datang kekal cerah.
Masalahnya di sini bukan sekadar tindakan atau kekurangan tindakan yang diambil tetapi berkaitan cara United mempamerkan pendirian mereka.
Benar, Antony tidak bersalah selagi belum dibuktikan sebaliknya, kesnya juga berbeza dengan Greenwood di mana tiada bukti penting didedahkan setakat ini.
Tindakan melindungi pemain penting ini turut sama dilakukan oleh Arsenal dan Paris-Saint Germain (PSG) di mana pemain-pemain mereka, Thomas Partey dan Achraf Hakimi, masing-masing berhadapan dengan tuduhan rogol tetapi masih dikekalkan dalam skuad utama.
Apa yang membuatkan banyak pihak geram adalah sikap acuh tak acuh United yang dahulunya cuba memperkecilkan isu Greenwood dan seolah-olah hendak melakukan perkara yang sama sekarang.
Tidakkah United mempunyai dasar yang jelas dalam menangani masalah salah laku pemain, terutama dalam hal yang melibatkan keganasan terhadap wanita?
Berita tentang Antony ini sebenarnya telah disebarkan buat kali pertama pada penghujung musim lalu tetapi United hanya mendiamkan perkara itu.
Mereka seperti berharap agar perkara itu bakal terkubur dengan sendiri tanpa sebarang tindakan yang perlu diambil.
Di mata penyokong, tiada apa yang lebih penting daripada keputusan di atas padang dan mungkin mereka beranggapan kontroversi itu bukanlah satu perkara besar yang wajar dikecohkan, tetapi tidakkah mereka sedar yang perkara sebegini memberikan petanda bahawa United secara keseluruhannya dikendalikan oleh pihak yang sama sekali tidak arif?
Bagaimana perubahan hendak dikecapi jika pengurusan sebegini menjadi tonggaknya?
Masanya sudah lama tiba untuk United serta seluruh industri bola sepak membuka mata dan mencipta satu budaya yang mementingkan rasa hormat dan tanggungjawab -- di atas padang serta di luar juga.