Skip to main content

Bola Sepak

Sarri sangkal hubungan keruh dengan Dybala

dybala.jpg
Pengurus Juventus, Maurizio Sarri, mengulangi kenyataannya bahawa tidak timbul masalah di antara dirinya dan Paulo Dybala selepas reaksi berang penggempur itu ketika digantikan dalam kemenangan 2-1 di Roma semalam. 

Hantaran silang Dybala menyumbang kepada gol pembukaan Merih Demiral selain dia memenangi sepakan penalti pada minit ke-10 yang disempurnakan oleh Cristiano Ronaldo.

Namun, pemain kelahiran Argentina itu mempamerkan kekecewaannya ketika digantikan oleh Gonzalo Higuain dalam 20 minit terakhir permainan. 

Bercakap menjelang pertembungan dengan Udinese dalam saingan Coppa Italia, Sarri menyatakan tidak perlu menjernihkan kekeruhan hubungan mereka. 

"Saya bercakap dengan Dybala setiap hari, saya juga sukakannya. (Saya) tidak perlu bercakap mengenai apa yang berlaku," katanya.

"Selain daripada itu, kakitangan saya memberitahu saya bahawa Dybala hanya mempersoalkan mengapa dia dikeluarkan. Pada hemat saya, ia sesuatu yang biasa, 

"Kami bernasib baik kerana mempunyai penyerang mantap yang boleh memberi sumbangan, bukannya mencetuskan masalah atau kontroversi."

Sarri berhasrat untuk menurunkan barisan terhandalnya menjelang aksi pusingan 16 itu sambil kelibat Ronaldo turut akan dipertimbangkan.

"Tiga penggempur kami semuanya dalam keadaan baik," katanya. "Cristiano baik-baik saja dan dalam prestasi yang hebat. Saya mahu bercakap dengannya hari ini bagi mengetahui sama ada akan mempertaruhkannya atau tidak."

Sementara itu, Demiral sekali lagi berdepan tempoh rehat yang panjang ekoran kecederaan ligamen lutut kirinya dalam pertemuan dengan Roma itu.

"Saya tumpang sedih buat Merih Demiral," katanya selepas Juve mengesahkan pemain antarabangsa Turki berusia 21 tahun itu akan menjalani pembedahan.

"Ia berlaku pada ketika dia sedang berkembang pesat selain membuktikan bahawa dia adalah pemain Juventus dan baru sahaja meledak gol pertamanya buat kelab."


Editor: Shaiful Shamsudin 




 

Advertisement

Must Watch Video