Skip to main content

Bola Sepak

Sarawak terus dihambat badi, dahului perlawanan tapi tidak menang

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

16417sarawak.jpg
Andai kata syarat untuk meminang Puteri Gunung Santubong perlu menang dalam saingan Liga Super, Sarawak tampaknya harus menunggu lama untuk bersanding di atas pelamin.

Ini kerana skuad Bujang Senang terus "dihantui badi kemarau kemenangan" di Stadium Negeri dalam aksi terakhir, malam tadi.

Ketika kemenangan seolah-olah terhidang di depan mata, Sarawak yang dua kali mendahului Perak kempunan lagi ketika aksi 90 minit berakhir dengan 3-3.

Sarawak sekadar meraih seri, menyebabkan penyokong di tepi padang tanpa segan silu melaungkan mereka tidak mahu lagi sebarang alasan.

Benar, semacam ada "batu halangan besar" yang menutup ketat pintu kemenangan untuk Sarawak.

Justeru, tidak hairanlah David Usop berwajah kusam sebaik 90 minit perlawanan tamat.

"Pemain bermain bermati-matian baik pada separuh masa pertama mahupun kedua," katanya. "Tetapi kerana kami gagal menterjemahkan peluang, termasuk ditepis penjaga gawang (Perak, Muhammad Hafizul Hakim), kami terpaksa berputih mata.

"Akhirnya, mereka berjaya mencipta gol penyamaan yang berpunca daripada kesilapan barisan pertahanan kami. Saya anggap itu kesilapan individu kerana bola itu itu bukan dalam kedudukan bahaya."

Meskipun masih dibelit isu sama -- sentuhan penyudah -- David tetap berpuas hati dengan aksi keseluruhan permainan.

"Kedua-dua pasukan beraksi seimbang dan saling menyerang. Dan kami bermain secara terbuka, bermain untuk menang."

Ditanya adakah ketiadaan Nur Syahmie Iszuan mengganggu perancangan taktikalnya, David tidak menolak kemungkinan itu kerana dia berhadapan masalah kekurangan pemain gantian yang berkualiti.

"Bagaimanapun, Tommy Mawat Bada dan Abdul Rahim Abdul Razak bermain dengan cukup baik malam ini."

Tambahnya lagi, peluang Sarawak masih belum terkubur dan perlu menang dalam aksi seterusnya menentang Kelantan, 26 April nanti.

"Ia misi yang sukar tetapi kami tidak ada pilihan. Dan kami tidak boleh bergantung harap kepada keputusan pasukan lain."

Dalam aksi malam tadi, Sarawak mencipta gol pertama pada minit kelapan menerusi Mateo Roskam sebelum Faton Toski menyamakan kedudukan pada minit ke-16.

Selepas itu, Mohd Hafiz Kamal mencipta defisit tiga minit sebelum Mohd Hairol Mokhtar mengikat kedudukan pada minit ke-21.

Abdul Rahim, bagaimanapun, membawa Sarawak kembali ke hadapan apabila larian solonya pada minit ke-49 berjaya menggegar gawang sebelum Abdul Hadi Yahaya menghukum kealpaan pertahanan pada minit ke-71 bagi menjadikan kedudukan 3-3.

Sarawak kini berada di kedudukan ke-11 liga dengan kutipan lapan mata.

Advertisement

Must Watch Video