Skip to main content

Bola Sepak

Sang Penyu waspada ancaman Tok Gajah

irfan.jpg
Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, mengakui Pahang dalam prestasi terbaik untuk menjadikan aksi di Kuala Terengganu malam ini satu saingan sengit yang menemukan pasukan di tangga kedua dan keempat Liga Super.

Irfan berkata skuad bimbingan Dollah Salleh itu pasti bersemangat selepas mencatat kemenangan ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Melaka United dalam dua perlawanan terdahulu.

Menurutnya, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dapat menyuntik semangat Sang Penyu untuk menceriakan penyokong sendiri selepas aksi kurang meyakinkan ketika bertemu Kedah, Jumaat lalu.

"Kami harus berhati-hati memandangkan jentera tengah Pahang cukup kuat.

"Tetapi mereka juga ada kelemahan dan pemain-pemain saya berupaya melakukan sesuatu," jelas Irfan.

Tidak banyak rombakan akan dilakukannya, dengan beberapa tonggak masih dalam senarai kecederaan, antaranya Mohd Shahrul Aizad, Abdul Malik Mat Ariff, Mohd Faiz Nasir dan Kipre Tchetche.

Turut terpaksa diketepikan ialah pemain pertahanan, Nasrullah Hanif Johan, yang disahkan masih belum cergas untuk menghadapi Tok Gajah.

Ketiadaan tonggak utama itu sedikit meresahkan Irfan, namun dia tetap berikrar untuk terus memberi tekanan kepada tiga pasukan teratas.

"Gandingan benteng, Latif (Suhaimi) dan (Igor) Zonjic memiliki gaya permainan yang sama tetapi saya memerlukan seorang pertahanan yang laju.

"Apa yang boleh saya katakan, Terengganu akan memberikan yang terbaik untuk mencapai kemenangan," tambahnya lagi.

Advertisement

Must Watch Video