Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Bola Sepak

Ronaldo di tahap '140 peratus' sudah cukup baik buat Zidane

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ronaldo.jpg
Zinedine Zidane mendedahkan Cristiano Ronaldo cergas sepenuhnya untuk beraksi apabila Real Madrid bersedia untuk menghadapi Liverpool dalam final Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok. 

Bintang Portugis itu mengalami kecederaan ketika seri 2-2 dalam aksi El Clasico dengan Barcelona pada 6 Mei lalu, namun kembali mencetak gol penentuan dalam aksi terakhir La Liga musim ini di Villarreal, hujung minggu lalu.

Pengurus Madrid, Zidane, sebelum ini mendakwa tonggak utama berusia 33 tahun itu akan berada di tahap "150 peratus" untuk pertembungan dengan The Reds yang dikemudi Jurgen Klopp di Kiev, Ukraine. 

Bagaimanapun, semasa ditemui pemberita di Stadium NSC Olimpiyskiy, pengurus Perancis terbabit sekali lagi mengulangi keyakinannya bahawa Ronaldo tetap akan diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Liverpool.

"Dia berada dalam keadaan yang baik dan jika dia berada di tahap 140 peratus, itu sudah cukup baik," kata Zidane.

"Ini adalah sesi latihan terakhir sebelum perlawanan besar musim ini. Satu perkara yang perlu anda ketahui adalah hidup Ronaldo adalah mengenai perlawanan sebegini, jadi kami akan lihat esok," tambahnya.

Terdapat beberapa pemain dalam kalangan pasukan Galacticos yang pasti kecewa seperti Karim Benzema, Gareth Bale, Isco dan Lucas Vasquez yang bersaing untuk menyertai Ronaldo di bahagian serangan. 

"Pemain berada dalam keadaan terbaik dan akan ada ramai pemain yang tidak akan tersenarai mahupun di bangku simpanan sekalipun tetapi kami perlu mengutamakan pasukan," kata Zidane.

"Pemain boleh berasa kecewa tetapi sebaik permainan bermula, mereka harus bersama pasukan untuk menyokong pasukan. Kami bersatu. Inilah yang selalu terjadi, walaupun dari bangku simpanan, mereka juga dapat memberi sumbangan besar kepada pasukan dan itu penting.

"Saya telah mengatakannya banyak kali, ini adalah masa yang paling sukar bagi seorang pengurus apabila anda perlu meninggalkan pemain, terutama dalam perlawanan akhir apabila ada pemain yang lebih menyerlah untuk beraksi.

"Itulah bahagian paling sukar menjadi jurulatih tetapi saya perlu melakukannya."
 

Advertisement

Must Watch Video