Skip to main content

Bola Sepak

Rajagobal puas seri dengan JDT

asiana-rajagobal.jpg
"Satu mata yang cukup sukar", demikian luahan jurulatih PKNS, Datuk K. Rajagobal, yang berasa bangga dengan keupayaan pemainnya mengikat juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Shah Alam walaupun terpaksa menggunakan pendekatan bertahan bagi menyaingi keampuhan lawan.

JDT sememangnya berada dalam momentum terbaik untuk memenangi perlawanan ini sejak memiliki dua penyerang import baru, Harry Novillo dan Jorge Santos Silva.

Bagaimanapun, reputasi itu tidak menggerunkan Rajagobal yang berjaya menemui formula menyekat harapan JDT untuk membawa pulang tiga mata penuh.

Biarpun pendekatan taktikal tampak negatif dengan banyak berkampung di kawasan sendiri, Rajagobal puas kerana perancangannya berjaya.

"Ini merupakan petanda yang mampu meningkatkan keyakinan pasukan. Ia secara tidak langsung memberikan ruang buat pasukan meningkatkan mutu permainan pada masa akan datang," kata Rajagobal.

Salah seorang pemain yang turut berperanan mengganggu rentak lawan ialah pemain tengah, Muhd Nazrin Syamsul Bahari, yang pertama kali diturunkan selepas 12 perlawanan.

"JDT adalah pasukan yang kuat dalam saingan Liga Super tetapi kami mengikut setiap perancangan yang telah ditetapkan jurulatih dan kami meraih mata berharga daripada perlawanan ini," kata Nazrin.

Imej: Asiana

Advertisement

Must Watch Video