Skip to main content

Bola Sepak

Rajagobal belum puas hati

rajagobal_1.jpg
Jurulatih PKNS FC, K. Rajagobal, nyata kecewa dengan kelekaan pasukannya pada hujung perlawanan sungguhpun meraih kemenangan 3-2 ke atas Kuala Lumpur dalam Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam.

Ia susulan pelawat meraih gol kedua pada minit kedua masa kecederaan menerusi Guilherme de Paula.

"Sudah tentu saya begitu kecewa. Kalau kita sudah tahu bola sepak, kita semestinya fokus walaupun berada dalam masa kecederaan ataupun pada minit-minit terakhir. 

"Ini kerana ia adalah jaringan hadiah. Itu sepatutnya tidak berlaku. Bagaimanapun, ia adalah pengajaran berguna.

"Apabila kami mendahului 3-1, saya memberitahu pemain, jangan buat keputusan terburu-buru, harus bersabar.

"Kami hilang bola dan walaupun kami mendahului 3-1, Kuala Lumpur datang mendapatkan gol kedua dan mungkin boleh mendapatkan gol penyamaan," katanya.

PKNS turun dengan harapan untuk terus merapati jurang mata dengan lima pasukan teratas liga manakala Kuala Lumpur enggan terus menghampiri zon penyingkiran.

Perlawanan bermula rancak apabila pelawat terlebih dahulu di depan menerusi jaringan pertahanan import, Bobirjon Akbarov, pada minit kelima.

Selepas itu, Indra Putra Mahayuddin turut memiliki peluang pada minit keenam, namun percubaannya melepasi palang gol PKNS.

Tuan rumah kemudian dihadiahkan sepakan penalti pada minit kelapan apabila Muhammad Faris Ramli dikasari Mohd Firdaus Mohd Faudzi dalam kawasan penalti pelawat.

Kapten pasukan, Safee Sali, menyempurnakan sepakan pada minit kesembilan untuk gol penyamaan buat PKNS.

PKNS seterusnya menggandakan asakan dan hasilnya, Faris meletakkan pasukannya di depan selepas menyudahkan umpanan Safee pada minit kelapan.

Pada minit ke-49, PKNS dihadiahkan sepakan penalti kedua selepas bola terkena tangan Firdaus dalam kawasan penalti pada minit ke-51, dengan Jonathan Acosta tenang menyudahkannya untuk gol ketiga PKNS.

Kuala Lumpur kemudian meraih gol kedua pada minit kedua masa kecederaan menerusi de Paula, namun gagal menafikan kemenangan PKNS.

"Dalam separuh masa kedua, kami agak leka. Kami perlu berusaha lebih gigih dalam latihan. Bertemu Melaka untuk perlawanan seterusnya, kami perlu waspada dan melakukan persiapan.

"Saya juga perlu mempertajamkan penyudah saya," kata Faris yang bermain di bahagian sayap.

Sementara itu, jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel, berkata: "Kami mencipta banyak peluang dan memberi tekanan hebat ke atas mereka.

"Lawan bertahan dengan baik. Jadi, kami harus bangkit selepas ini. Inilah bola sepak," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video