Skip to main content

Bola Sepak

Rabiot bidas kritikan Deschamps

adrien-rabiot.jpg
Kritikan Didier Deschamps mengundang kemarahan pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Adrien Rabiot. 

Rabiot menolak namanya dalam senarai skuad simpanan selepas Deschamps mengetepikannya dalam senarai 23 pemain utama untuk ke Piala Dunia Russia. 

Deschamps tersentak dengan tindakan Rabiot itu lalu menyifatkan pemain berkenaan sebagai melakukan kesilapan besar.

Bagaimanapun, di dalam surat terbuka panjang yang dikeluarkan melalui RTL semalam, Rabiot membidas Deschamps sambil menjelaskan dia membuat pilihan itu kerana tidak percaya dia ditinggalkan atas alasan "logik sukan".

"Saya sedar dengan impak keputusan saya tetapi saya kesal dilabel sebagai pemain muda yang belum matang kerana tidak dapat mengawal tindakan," kata Rabiot.

"Ini kerja saya tetapi bola sepak adalah semangat saya dan untuk sampai ke tahap tertinggi, saya terus berusaha dan semua yang saya dapati hari ini adalah hasil usaha di atas padang. Semua pemain ingin bermain untuk negara.

"Menyarung jersi biru merupakan satu penghormatan, kebanggaan. Untuk menang bersama Perancis merupakan misi saya. Sejak berumur 15 tahun lagi, saya telah mewakili Perancis.

"Saya mempunyai darah daging Perancis juga, saya sama sekali tidak akan membenarkan sesiapa bercakap bagi pihak saya tentang hubungan saya dengan pasukan Perancis.

"Sejak panggilan pertama saya sebagai pemain simpanan pada Mei 2016, saya telah bermain untuk kelab saya, PSG, sebuah kelab besar di Eropah. Kami telah mengharungi 88 perlawanan, termasuk 13 aksi Liga Juara-Juara, dengan saya menjaringkan tujuh gol di samping tujuh piala.

"Sekiranya saya memutuskan untuk menarik diri daripada senarai gantian, ini adalah kerana saya menganggap bahawa penilaian jurulatih terhadap saya tidak mencerminkan sebarang logik sukan kerana selama bertahun-tahun, mesejnya adalah jelas, prestasi di kelab merupakan pintu kepada pasukan kebangsaan.

"Tanpa keraguan, saya adalah seorang pejuang tetapi saya juga seorang lelaki dewasa. Oleh itu, saya ingin dianggap seperti itu.

"Saya tidak menyasarkan kepada mana-mana pemain yang terpilih dan saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Persekutuan Bola Sepak Perancis, Noel Le Graet, kerana membuktikan komitmen saya sejak lapan tahun lalu.

"Akhirnya, saya akan bertanggungjawab di atas pilihan saya ini dengan adanya sokongan keluarga dan saudara saya."

Biarpun PSG tidak ingin memanjangkan isu itu kerana mahu mengelak daripada mengganggu soal pemilihan pemain dalam Piala Dunia Russia, kelab itu mengeluarkan satu kenyataan terbuka untuk menyokong Rabiot, semalam. 

"Di sebalik perdebatan umum, kelab ini ingin menekankan hubungan istimewa seorang pemain yang tiba di pusat latihan ini pada 2010. Dia memperagakan bakat dan wataknya di semua peringkat untuk menjadi sebahagian besar daripada tenaga kerja profesional kami," kata PSG.

"Dia sangat kompetitif untuk merebut tempat. Dia telah mewakili kami sebanyak 207 kali pada usia baru 23 tahun. Adrien mewakili sosok penting dalam sistem latihan kelab kami.

"Kelab ini mengimbau semula ketika dia bersama pasukan kebangsaan dan nilai-nilai yang mereka tonjolkan. Kami berharap yang terbaik buat pemain yang terpilih dalam Piala Dunia."

Advertisement

Must Watch Video