Skip to main content

Bola Sepak

PKNS tidak rela ulang kesilapan sama

shahril.jpg
Kelemahan dalam menangani situasi serangan bola mati pihak lawan perlu segera diatasi PKNS FC atau mereka bakal berputih mata di tangan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), dalam Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini.

Penjaga gol PKNS, Mohd Shahril Saa'ri, mengambil berat luahan jurulatih, Datuk K. Rajagobal, yang kecewa kerana mereka dihukum dalam situasi sama dalam tiga perlawanan terakhir.

Ditambah berdepan JDT yang diketahui mempunyai kekuatan daripada aspek itu, Shahril berharap dia dan rakan sepasukannya lebih peka dan mampu bekerjasama di atas padang.

"Untuk latihan dua, tiga hari ini, saya dan pemain pertahanan cuba perbaiki apabila kami pernah dihukum menerusi bola sepakan percuma dalam tiga perlawanan. 

"Mungkin jurulatih akan cuba membuat sesuatu untuk menanganinya ketika berdepan pasukan lawan," kata Shahril. 

Sementara itu, pemain tengah, K. Gurusamy, yang dijangka turun menggantikan Daniel Ting ekoran digantung perlawanan, memohon rakan sepasukan memberi perhatian kepada pemain sayap, Gonzalo Cabrera.

Beraksi di posisi tengah bertahan, dia akan cuba memastikan bahagian tengah JDT mampu dimatikan bagi menjejaskan peluang untuk pelawat mencari jaringan.

"Kami banyak bolos dan kami ada menjaringkan gol juga. JDT adalah pasukan yang kuat dan mereka banyak mengasak menerusi serangan.

"Jadi, kami harus fokus berdepan mereka, terutama Cabrera yang begitu lincah," kata Gurusamy.

Advertisement

Must Watch Video