PKNP FC mengukuhkan kembali kedudukan dalam Liga Super selepas menewaskan Kelantan 2-0 dalam perlawanan di Stadium Negeri, Batu Kawan, semalam.
PKNP turun dengan misi merakam tiga mata di laman sendiri tatakala Kelantan memburu kemenangan pertama di bawah kendalian Fajer Ibrahim.
Seperti aksi sebelum ini, Kelantan yang mempertaruhkan ramai tonggak muda, memulakan perlawanan dengan agresif.
Namun, benteng PKNP yang diterajui Raffi Naggorrani ampuh mematahkan ancaman lawan dalam babak pertama.
Peluang terbaik Kelantan hadir pada minit ke-2, apabila percubaan Nik Akif Shahiran Nik Mat dinafikan penjaga gol PKNP, Ahmad Asyraf Omar.
Selang dua minit, PKNP memiliki peluang, namun Shahrel Fikri Md Fauzi gagal menyempurnakan peluang terhidang.
Shahrel kemudian menebus kesilapan itu apabila melakukan umpanan tepat buat Hafiz Ramdan membuka tirai jaringan pada minit ke-26.
PKNP kemudian melebarkan jurang gol pada minit ke-30 apabila sepakan penjuru Hafiz disudahkan Ritus Krjauklis.
Masuk babak kedua, Kelantan cuba menggandakan asakan namun, pertahanan PKNP kekal ampuh bertahan untuk memastikan tiga mata diraih mereka.
"Keazaman pemain-pemain ialah untuk melakar kemenangan selepas kami kehilangan dua mata bertemu PKNS dalam aksi terdahulu," kata jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim.
"Pasukan yang kami bentuk ini tidak akan menghasilkan kejayaan serta-merta. Buat masa ini, ini adalah kemampuan Kelantan dan kami akan terus berusaha untuk perlawanan akan datang," kata penolong jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah.
Imej: Asiana