Skip to main content

Bola Sepak

Piala Presiden: Ketumpulan jentera serangan hampakan Pahang

presiden-pahang-azaruddin-aziz.jpg
KELANTAN 1 PAHANG 0 

Ketumpulan jentera serangan menjadi faktor utama kekalahan 0-1 Pahang kepada tuan rumah, Kelantan, dalam aksi menarik Kumpulan A, Piala Presiden di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, petang semalam.


Biarpun menguasai keseluruhan permainan dan mempunyai beberapa peluang terbaik menghasilkan jaringan, namun kehebatan penjaga gol Kelantan, Mohd Syafiq Zulkifli, jelas menjadi batu penghalang.

Kelekaan barisan pertahanan skuad Tok Gajah akhirnya dihukum dengan kelicikan penyerang muda The Presiden Warriors (TPW), Afiq Saluddin, yang berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-37.

Ketua jurulatih Pahang, Mohd Azaruddin Mohd Aziz, jelas kecewa dengan kekalahan tipis ini sambil mengakui skuadnya memerlukan seorang penyerang yang boleh menjaringkan gol untuk memastikan kemenangan.

“Masalah utama kami tahun ini adalah tidak mempunyai seorang penyerang yang betul-betul boleh ‘membunuh’ di depan gol. Biarpun menguasai keseluruhan permainan, kami tetap kecewa akibat ketumpulan jentera serangan.

“Bahagian lain semuanya berfungsi dengan baik dan kami akan lebih memberi perhatian kepada jentera serangan selepas ini,” katanya.

Azaruddin, bagaimanapun, tetap percaya kemampuan skuadnya untuk menempatkan diri dalam empat pasukan terbaik Kumpulan A, sekali gus mara ke suku akhir.

“Insya-Allah, saya yakin Pahang mampu layak ke suku akhir. Kami masih mempunyai lima lagi perlawanan. Ada dua perlawanan yang cukup mencabar menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) III di Kuantan dan pendahulu liga, Kedah.

“Selepas hari raya, tiga lagi perlawanan menanti Pahang, iaitu bertemu Perlis, ATM dan MIFA,” katanya.

Untuk rekod, kekalahan tipis kepada Kelantan meletakkan Pahang di tangga kelima carta liga dengan 23 mata hasil daripada tujuh kemenangan dan dua keputusan seri.

Advertisement

Must Watch Video