Skip to main content

Bola Sepak

Piala Presiden: Kelantan mahu cari semula rentak kemenangan

kelantanpresiden.jpg
Biarpun tanpa enam tonggak utama, Kelantan mahu mencipta semula rentak kemenangan selepas bermula agak perlahan dalam aksi pusingan kedua  Kumpulan A, Piala Presiden, menentang Pahang di Stadium Sultan Muhammad  IV, petang ini.
 
Selepas terikat seri 1-1 dengan pendahulu kumpulan, Kedah, The President Warriors (TPW)  melaungkan keyakinan untuk kembali ke landasan kemenangan dengan menjadikan skuad Tok Gajah sebagai mangsa pertama.
 
Ketua jJurulatih TPW, Zahasmi Ismail, yakin anak buahnya terus dahagakan kemenangan kerana sedar saingan merebut kelompok empat terbaik masih terbuka luas.
 
"Kita bermula agak perlahan (dalam pusingan kedua) apabila sekadar seri dengan Selangor tetapi tumpas 1-3 kepada JDT III. Namun, keupayaan pemain mengikat Kedah di gelanggang lawan cukup membanggakan.
 
"Kelantan perlu menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri dengan menumpaskan Pahang, sekali gus memulakan semula rentak kemenangan dalam pusingan kedua ini.
 
“Lagipun, jurang perbezaan mata di antara Kelantan dan skuad Tok Gajah tidak jauh (tiga mata) dan kemenangan akan terus membakar semangat pemain muda ini,” katanya.
 
Ditanya barisan yang  bakal diturunkan, Zahasmi tidak menolak kemungkinan mengekalkan pemain  yang sama semasa seri dengan Kedah di Alor Setar, Isnin lalu.
 
“Kami telah kehilangan enam pemain muda yang dipanggil menyertai skuad Liga Super Kelantan, termasuk yang terbaru, kapten, Muhammad Danial Asyraf Abdullah.
 
“Namun, kami masih ada penjaring lima gol, Afiq Saluddin yang akan memimpin jentera serangan TPW, petang ini, bagi mencapai misi layak ke peringkat suku akhir sebagai antara empat pasukan terbaik Kkumpulan A,” katanya. 
 
Untuk rekod, Kelantan berada di tangga kelima dengan 20  mata hasil lima kemenangan dan lima kali seri manakala Pahang di tempat keempat dengan 23 mata tetapi bermain lebih satu perlawanan.
 

Advertisement

Must Watch Video