PIALA BELIA
Piala Belia: AMD Cougars lebur rekod tanpa kalah TFC IV
TFC IV 1 AMD COUGARS B-16 2
Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP), Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Cougars B-16, mencatat kemenangan penting 2-1 dengan mengatasi pendahulu Kumpulan A, Terengganu FC (TFC) IV, dalam aksi Piala Belia di Kompleks Sukan Gong Badak, petang tadi.
Skuad AMD Cougars terlebih dahulu menguji kubu tuan rumah menerusi percubaan deras pada minit pertama daripada Muhamad Umar Hakeem yang diselamatkan penjaga gol lawan.
Iklan
TFC IV memperkemaskan rentak dan memperoleh peluang pertama yang menyaksikan rembatan Muhammad Isa Raman di dalam kotak penalti dihalang pertahanan AMD Cougars untuk memberikan sepakan penjuru kepada tuan rumah.
Sepakan itu diambil Muhammad Syafik Ismail yang kemudian ditanduk kemas Arham Khussyairi Ab Wahab untuk gol pendahuluan TFC IV pada minit ke-17.
Ketinggalan satu gol tidak melemahkan semangat skuad bimbingan Lim Teong Kim itu, sebaliknya mempamerkan rentak lebih tersusun dan menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-39 melalui jaringan Alif Daniel Abd Aziz.
Hasrat TFC IV untuk menamatkan separuh masa dengan gol kedua tidak kesampaian apabila tandukan kapten, Tuan Ahmad Muqris Tuan Noor Marzuki, pada masa tambahan gagal menepati sasaran.
Dua minit bersambung babak kedua, TFC IV melakukan serangan dari sebelah kiri dengan hantaran lintang Muhammad Syafik, malangnya tandukan Wan Arif Hakimi Wan Ahmad sekadar mengenai palang.
Penyerang AMD Cougars, Luqman Hakim Shamsudin, kemudian melepasi kawalan pertahanan lawan untuk tenang menyudahkan gerakan dari tengah, sekali gus meletakkan pasukannya 2-1 di depan pada minit ke-62.
Asakan berterusan tuan rumah gagal diterjemahkan kepada jaringan, sebaliknya AMD Cougars bijak mempertahankan kedudukan sehingga wisel penamat untuk meleburkan rekod tanpa kalah TFC IV.
Must-Watch Video