PIALA ASIA
Piala Asia: Semangat juang Harimau Malaya luar biasa -- Son Heung-Min
Semangat juang serta kreativiti dipamerkan Skuad Harimau Malaya mendapat pujian daripada bintang Totenham Hotspur, Son Heung-Min, sehingga berjaya seri 3-3 dengan juara dua kali Piala Asia, Korea Selatan dalam perlawanan terakhir Kumpulan E semalam.
Di sebalik kekecewaan gagal mendapatkan kemenangan, kapten Korea Selatan itu kagum dengan kegigihan dan kesungguhan pasukan Malaysia bimbingan Kim Pan-gon mampu bangkit dua kali daripada ketinggalan di Stadium Al-Janoub semalam untuk membawa pulang satu-satunya mata dalam kejohanan ini.
"Ia satu keputusan yang sukar diterima, tetapi pujian hebat perlu diberikan kepada pasukan Malaysia. Mereka berjuang sehingga saat akhir permainan dan saya kagum dengan bola sepak Malaysia yang kreatif.Malaysia melaksanakan tugas mereka dengan hebat, memang menarik untuk menyaksikan perlawanan ini selaku peminat bola sepak.
Iklan
"Kami kecewa dengan bagaimana kami mengakhiri perlawanan ini tetapi apa yang paling penting kami layak ke pusingan 16 pasukan terbaik dan kami teruskan kemaraan kerana perlawanan penting berlangsung tidak lama lagi, jadi kami perlu bersedia untuk perlawanan besar itu,” katanya dalam sidang akhbar pemain terbaik perlawanan di sini.
Pemain tengah, Jeong Woo-yeong membuka jaringan untuk Korea Selatan menerusi tandukannya pada minit ke-21 sebelum Malaysia mendahului selepas 17 minit babak kedua menerusi sepakan Mohamad Faisal Abdul Halim dan sepakan penalti yang disempurnakan Aiman Mohd Hanapi.
Bagaimanapun, Korea Selatan menyamakan kedudukan ketika permainan tinggal 10 minit masa permainan sebenar menerusi gol sendiri penjaga gawang Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, sebelum mendahului 3-2 menerusi sepakan penalti Son pada masa tambahan.
Dengan keputusan perlawanan ini, Korea Selatan kekal di tangga kedua kumpulan dengan lima mata sementara Malaysia mengakhiri kejohanan ini dengan satu mata dan kepuasan menjaringkan tiga gol semasa menentang sebuah pasukan gergasi Asia.
Bahrain muncul juara kumpulan selepas menundukkan Jordan 1-0 untuk mengumpul enam mata tetapi kekalahan itu tidak menyekat Jordan yang memperoleh empat mata daripada layak ke peringkat kalah mati selaku satu daripada empat pasukan tempat ketiga terbaik.-Sinar Harian
Must-Watch Video