PIALA ASIA
Piala Asia: Lambung biar berpada
Senario menjelang perlawanan pembuka tirai skuad Harimau Malaya dalam Piala Asia 2023 di Qatar menentang Jordan pada 16 Januari 2024 ini semakin membahang suhunya.
Perang saraf atau psikologi membabitkan kebanyakan pasukan semakin rancak. Pelbagai analisis dan congakan dikeluarkan. Merujuk ranking semasa, pertemuan-pertemuan (H2H) sebelum ini, prestasi semasa pasukan-pasukan terbabit, pemain-pemain hebat yang dimiliki, siapa jurulatihnya dan macam-macam lagi.
Namun semuanya hanyalah kaedah-kaedah atau instrumen yang dikongsikan atas pelbagai faktor iaitu untuk memeriahkan, menarik perhatian, menghangatkan, menyedapkan, menunjukkan sokongan, berkongsi harapan positif (negatif nanti dikecam) itu lebih menonjol serta tidak disedari ujud 'bias' yang memihak tidak bersandarkan kepada realiti.
Iklan
Dalam bahasa mudah orang kampung, semuanya diibaratkan seperti 'bomoh moden' yang bercakap tentang bola sepak pada ketika ini. Agak menarik tetapi zaman media baru dengan dunia internet sekarang tidak hairan ramai yang boleh merujuknya untuk menjadi pakar dalam pelbagai bidang.
Namun disebalik semua itu, faktor-faktor pembolehubah yang akan menyumbang kepada keputusan perlawanan nanti adalah prestasi yang dipersembahkan oleh kedua-dua pasukan pada hari itu.
Siapakah pemain-pemain yang diturunkan jurulatih, kecederaan pemain, strategi dan taktikal yang digunakan oleh jurulatih dan mampukah diserap oleh pemain, pengadil yang mengadili perlawanan dan akhir sekali faktor tuah atau nasib buat pasukan itu.
Cuma buat waktu ini, bercakap tentang nasib Harimau Malaya nanti, janganlah dilambung terlalu tinggi, takut kalau jatuh nanti impaknya lebih menyakiti, kalau tidak jatuh berderai sekalipun, takut nanti ada kecederaan dalaman dan kecacatan kekal boleh berlaku. Justeru, ambillah pendekatan sederhana, berpada-padalah memuji agar nanti tidak terlalu sakit disakiti.
Kita doakan kejayaan mereka, mereka itu mewakili kita, mereka juga pahlawan kita. Gembira sama-sama kita raikan, andai duka sama-sama kita berduka.
Must-Watch Video