Skip to main content

Bola Sepak

Perlawanan Sumbangsih: Syihan Hazmi anggap penampilan pertama satu penghormatan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

syihan-hazmi.jpg
Penjaga gol Johor Darul Ta'zim FC (JDT), Syihan Hazmi Mohamed, menganggap penampilan pertamanya bersama pasukan ketika menewaskan Terengganu FC 2-0 dalam Perlawanan Sumbangsih di Iskandar Puteri semalam sebagai satu penghormatan.

Harimau Selatan jelas mendominasi permainan dan berhasil menemui jaringan menerusi Juan Muniz dan Bergson da Silva dalam babak berbeza, sekali gus menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali kelima berturut-turut.

Kemenangan itu turut menyaksikan JDT memulakan kempen Liga Super musim ini dengan tiga mata.

Ia merupakan kali pertama Syihan Hazmi turun mewakili JDT selepas menyertai pasukan juara bertahan Liga Super itu daripada Negeri Sembilan tahun ini.

Pemilihannya menyaksikan penjaga gol kebangsaan itu mengetepikan benteng akhir berpengalaman, Farizal Marlias, dan mengulas mengenai perkara itu, Syihan Hazmi berkata kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam: "Alhamdulillah, rezeki daripada Allah.

"Terima kasih kepada Tunku (Ismail Sultan Ibrahim, Pemilik JDT) kerana memberikan persiapan terbaik sebagai persediaan perlawanan malam ini.

"Bukan hanya saya tetapi semua pemain JDT sudah memberikan segala-galanya.

"Semua pemain telah memberikan 200 peratus," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video