Seorang pelari di Korea Selatan berusia 25 tahun, Yoo Ji-won, yang sebelum ini pernah mencatat larian di bawah tiga jam meninggal dunia selepas tiba-tiba rebah 500 meter dari garisan penamat dalam acara Seoul Race 2026, hujung minggu lalu.
Kejadian berlaku pada jam 8:49 pagi, 11 Oktober (waktu tempatan) ketika Yoo sedang menyertai acara separuh maraton (21km) apabila dia rebah dan tidak sedarkan diri di laluan larian sekitar kilometer ke-21.
Ji-won diberi rawatan kecemasan dengan serta-merta dan dikejarkan ke hospital, namun nyawanya tidak dapat diselamatkan.
Pada 12 Oktober, jawatankuasa penganjur Seoul Race mengumumkan kejadian tersebut serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan peserta lain. Pihak penganjur menyatakan bahawa mereka akan terus meneliti keadaan sekitar kejadian itu dan mengambil langkah susulan yang sewajarnya.
Walaupun punca sebenar kematiannya masih belum didedahkan, beberapa laporan berita Korea Selatan menggunakan istilah berkaitan serangan jantung,,
Kematian Ji-won menarik perhatian ramai memandangkan dia merupakan seorang penyelidik pascasiswazah di Korea Advanced Institute of Science and Technology (KAIST), dengan tumpuan kepada semikonduktor untuk kecerdasan buatan (AI). Selain kegiatan akademiknya, dia juga aktif menyertai acara larian dan sering berkongsi pengalaman latihannya di media sosial.
Dalam satu temu bual di YouTube pada Mac lalu, dia menjelaskan kebiasaannya dia akan tiba di makmal penyelidikannya pada pukul 9:00 pagi untuk menjalankan pengajian dan penyelidikan, diikuti dengan sesi larian selama dua jam bermula pada pukul 8:00 malam.
Pada hari-hari tertentu, dia akan kembali ke makmal selepas sesi latihannya untuk membereskan tugasannya.
Walaupun bukan seorang atlet profesional, Yoo mencatatkan statistik larian yang mengagumkan dan dalam Seoul Marathon Mac, dia menamatkan larian berjarak 42 km dalam masa dua jam, 56 minit, dan 32 saat, manakala acara New Balance Half Marathon dalam tempoh 1.22:1s.