Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing, mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Denmark apabila mudah mengatasi pasangan pilihan kelima dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, di SJF Bank Arena sebentar tadi.
Gandingan negara itu menguasai penuh permainan dan tidak pernah ketinggalan sebaik melakukan pukulan pertama untuk mudah memenangi set pertama 21-7.
Skrip hampir sama berlaku dalam set kedua, di mana mereka hanya melepaskan 11 mata untuk ke suku akhir dengan kemenangan 21-11 selepas secara keseluruhan bertarung dalam masa 24 minit.
Menanti mereka dalam penentuan ke separuh akhir esok ialah pemenang di antara pasangan pilihan keempat dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue, dan beregu Jepun, Akira Koga-Natsu Saito.