Skip to main content

Bola Sepak

Perlawanan Sumbangsih: Benteng akhir JDT lebih ampuh berbanding Selangor -- pakar

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

lim-chan-yew.jpg
Johor Darul Ta'zim (JDT) memiliki keampuhan yang lebih dominan di benteng akhir berbanding seteru utama, Selangor, menjelang Perlawanan Sumbangsih, yang akan menjadi aksi pembuka tirai Liga Super musim ini di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Jumaat ini.

Pandangan itu disuarakan bekas pertahanan negara, Lim Chan Yew, berdasarkan barisan pemain dan situasi pasukan, dengan The Red Giants kehilangan tonggak pertahanan berpengaruh, Safuwan Baharudin.

Ketiadaan Safuwan menimbulkan persoalan terhadap kemampuan barisan pertahanan Selangor untuk menyekat kemaraan jentera serangan Harimau Selatan.

Apatah lagi, anak buah Katsuhito Kinoshi itu akan beraksi di gelanggang keramat lawan, yang sememangnya kebal buat JDT.

Situasi berbeza buat tuan rumah, yang memiliki barisan pemain berkualiti walaupun kehilangan Jordi Amat musim ini.

Skuad bimbingan Sisko Munoz itu dibarisi pemain seperti bekas pertahanan Villarreal, Antonio Glauder, dan pertahanan warisan negara, Jon Irazabal.

"Untuk JDT, kita perlu tahu bahawa pasukan ini memang dipersiapkan setiap tahun untuk menghadapi ACL (Liga Juara-Juara Asia)," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Kita juga tahu sasaran JDT dalam ACL amat tinggi, mungkin untuk ke separuh akhir atau ke final.

"Jadi, pemain yang dibawa masuk bukan calang-calang pemain, sudah tentu pemain yang berpengalaman dan sudah terbiasa dengan suasana bola sepak besar.

"Jadi saya rasa untuk tahun ini, dalam liga kita, memang tiada masalah untuk mereka.

"Dengan ketiadaan Safuwan, saya rasa Selangor mungkin tempang kerana saya pernah bersama Safuwan di Selangor dan saya tahu kualiti dan tahapnya.

"Dengan ketiadaannya, siapa akan menerajui benteng pertahanan Selangor?"
 

Advertisement

Must Watch Video