Skip to main content

Bola Sepak

Pembelian Griezmann tidak dibantah pemain, Bartomeu yakin Messi lanjut kontrak

griezmann.jpg
Pemain Barcelona tidak membantah perpindahan Antoine Griezmann, kata presiden kelab, Josep Maria Bartomeu.

Laporan di Sepanyol mendakwa pemain skuad Ernesto Valverde itu menentang pemburuan khidmat pemain antarabangsa Perancis berkenaan yang berpindah ke Camp Nou daripada Atletico Madrid dengan harga €120 juta (RM558.4j), Julai lalu.

Juara LaLiga berkenaan hampir memuktamadkan perjanjian dengannya 12 bulan lebih awal, namun penyerang itu akhirnya memilih menghabiskan musim kelimanya di Atletico.

Keputusan itu dikatakan mengecewakan pemain senior Barca, termasuk Lionel Messi yang dilaporkan lebih memihak kepada kepulangan bekas rakan sepasukan, Neymar.

"Bilik persalinan tidak membantah kami (ahli lembaga pengarah) untuk menandatangani Griezmann," kata Bartomeu kepada Barca TV.

"Pemain tidak menyuarakan pendapat mereka mengenai urusan menandatangani pemain. Ia adalah keputusan yang dibuat oleh pasukan teknikal." 

Barca meningkatkan minat mereka ke atas Neymar selepas mengesahkan khidmat Griezmann, namun gagal menyamai tuntutan Paris Saint-Germain (PSG) sebelum jendela perpindahan ditutup 2 September lalu. 

Pemain sasaran yang lain, Matthijs de Ligt, pula memilih untuk menyertai Juventus tetapi Bartomeu menegaskan pengurus, Valverde, mempunyai kelengkapan secukupnya untuk melancarkan kempen yang sangat berjaya musim ini. 

"Skuad ini lebih kompetitif daripada musim lalu," katanya.

"Ia adalah skuad kecil tetapi sangat berdaya saing. Ernesto Valverde menyahut tuntutan kami dan saya menjangkakan lebih banyak kejayaan musim ini.

"De Ligt adalah salah satu sasaran kami tetapi dia memutuskan untuk tidak datang ke Barca."

Sementara itu, beliau menyatakan tidak bimbang dengan perkembangan lanjutan kontrak Messi sambil merujuk kepada isu yang sama yang pernah dihadapi terhadap Andres Iniesta, Xavi dan Carles Puyol. 

Messi memperbaharui kontraknya pada 2017 dengan perjanjian itu berjalan hingga akhir kempen 2020-21.

"Saya meragui bahawa dia berhasrat untuk beraksi dengan kelab lain tetapi dia bebas menentukan masa depannya. 

"Dia seorang peminat tegar Barca dan tidak syak lagi dia akan terus meneruskan (khidmatnya) sehingga 2021 dan kami berharap untuk tahun seterusnya juga."

 

Advertisement

Must Watch Video