Skip to main content

Bola Sepak

Pemain Perlis diminta profesional ulas isu gaji -- PFAM

ifzam-ismail-pfam.jpg
Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menyarankan pemain pasukan Perlis yang dibelenggu tunggakan gaji supaya mengekalkan sikap profesional dan tidak terburu-buru dalam membuat sebarang kenyataan.

Isu tunggakan gaji pemain terus menjejaskan kerancakan bola sepak tempatan, antaranya membabitkan Perlis yang diterajui pengurusan baru.

Meskipun mendapatkan pemain yang mempunyai nama besar, khususnya bekas pemain kebangsaan, pasukan dari utara itu bagaimanapun tidak dapat membayar gaji mengikut masa yang ditetapkan.

Bahkan, ada beberapa pemain senior dilaporkan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri, terutama sewaktu siri jelajah skuad Singa Utara ke Thailand bulan lalu.

Difahamkan, pengurusan pasukan menetapkan pembayaran gaji bulanan kedua buat pemain adalah pada hari ini dengan beberapa daripadanya berkemungkinan akan "angkat kaki" mencari pasukan lain.

"PFAM menyarankan kepada beberapa pemain Perlis yang mengalami masalah gaji untuk mengadakan perbincangan dengan pengurusan untuk mencari kaedah terbaik menyelesaikan tunggakan gaji. 

"Sekiranya tidak berjaya, mereka boleh membuat aduan kepada PFAM untuk kami mengambil langkah yang seterusnya. 

"Kami juga menyarankan kepada pengurusan untuk mencari jalan penyelesaian," kata Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail.

Sebelum ini, salah seorang pemain Perlis, Safee Sali, pernah menghubungi PFAM untuk meminta pandangan mereka selepas tidak menerima gaji pertama sejak menyertai pasukan itu Disember tahun lalu. 

Perlis juga masih belum melunaskan tunggakan gaji membabitkan pemain skuad itu yang beraksi dalam saingan Liga FAM musim lalu.
 

Advertisement

Must Watch Video