BOLA SEPAK
Pasukan kebangsaan – diswastakan?
SEBAGAI bekas pemain, aku sebenarnya beruntung kerana mendapat didikan daripada nama-nama besar dalam dunia kejurulatihan.
Senarai yang panjang ini termasuk Claude Le Roy, Jita Singh, Steve Darby, Ron Smith, Wan Jamak Wan Hassan, Mazelan Hamid dan Ahmad Isa.
Didedah dengan pelbagai kaedah pengurusan modal insan dan cara-cara mereka mengendalikan tekanan dalam bilik persalinan serta desakan dari tepi dan luar gelanggang, aku menganggap seorang jurulatih pasukan elit wajar dibayar dengan gaji yang lumayan.
Iklan
Hari ini, mereka bukan sahaja dituntut untuk menghasilkan kemenangan, keputusan dan koleksi piala. Mereka menguruskan pemain berstatus bintang, bergaji besar dan menguruskan kalendar harian pemain serta aktiviti-aktiviti ko-kurikulum jika ada.
Tekanan ini berlipat ganda andai mereka menguruskan pasukan kebangsaan.
Sebab itu aku percaya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mahu terburu-buru membuat sebarang keputusan drastik, apatah lagi pusingan kelayakan Piala Asia AFC 2023 akan diadakan sekitar Jun 2022.
Bedah siasat yang akan dikendalikan oleh FAM nanti tentu sekali mengambil kira hakikat Tan Cheng Hoe banyak mengubah falsafah permainan pasukan kebangsaan selepas menggantikan Nelo Vingada yang meletak jawatan pada penghujung 2017.
Sehari selepas Vingada meletak jawatan, FAM mengumumkan pelantikan Cheng Hoe, tentu sekali selepas mengambil kira hakikat bekas pemain Kedah itu pernah menjadi penolong kepada Datuk K. Rajagobal dari 2009 hingga 2013 sebelum membuktikan kemampuannya di pentas domestik dengan menjulang Piala Malaysia bersama Kedah pada 2016.
Gaya dan falsafah Cheng Hoe berteraskan build-up play dan possession football, dengan penekanan terhadap menyusun gerak dari barisan pertahanan dengan transisi menerusi hantaran-hantaran ke jentera tengah dan serangan. Falsafah ini diterapkan dengan harapan long ball bodoh yang tanpa tujuan dikikis daripada minda pemain.
Tanpa kekangan COVID-19 pada 2018 hingga 2019, Cheng Hoe diberi ruang dan kesempatan membina pasukannya mengikut acuannya.
Dengan kebebasan ini, Cheng Hoe meletakkan kemaraan ke final Piala AFF Suzuki 2018, apabila tewas kepada Vietnam pada final 3-2 secara agregat, sebagai batu asas dan penanda aras ke arah persiapan menghadapi misi lebih besar, iaitu mara ke Piala Asia AFC 2023.
Di sebalik pertikaian terhadap beberapa pilihannya, Cheng Hoe menyerapkan pemain seperti Syamer Kutty Abba, Syahmi Safari, Irfan Zakaria, Amirul Azhan Aznan dan Syazwan Andik sebagai teras untuk pasukan masa depannya.
Bagi menggambarkan DNA pasukan kebangsaan, Pengarah Teknikal FAM ketika itu, Peter De Roo, memilih jaringan Syahmi Safari pada separuh akhir Piala AFF Suzuki 2018 ketika menewaskan Thailand sebagai simbol corak permainan anak didik Cheng Hoe.
Dalam tempoh 20 saat membabitkan tujuh pemain menerusi tujuh hantaran yang disudahi dengan rembatan padu jarak jauh bagi jaringan sulungnya di pentas antarabangsa, Syahmi menjadi pencetak jaringan DNA bola sepak negara.
Prestasi anak didik Cheng Hoe diteruskan sehingga November 2019, dengan dua kemenangan ke atas Indonesia dan Thailand, serta tewas tipis kepada UAE 2-1 pada pra-Piala Dunia 2022 dan Piala Asia AFC 2023, memberi bayangan Malaysia berada pada prestasi terbaik untuk mencipta sejarah.
Namun, manusia hanya merancang, Tuhan menentukan. Segala-galanya berubah apabila Harimau Malaysia dipaksa menyimpan kuku selama hampir 18 bulan tanpa sebarang perlawanan antarabangsa.
Momentum yang diatur dengan cantik tiba-tiba sumbang. COVID-19 datang membawa banyak cabaran, dengan kekangan terhadap tingkah-laku dan gaya hidup seorang atlet dalam meluahkan kreativiti dan kebebasan.
Dalam tempoh sejak menewaskan Indonesia 2-0 pada 19 November 2019 bersaksikan hampir 80,000 penonton di Stadium Nasional, perancangan rapi Cheng Hoe terlerai satu-persatu.
Perlawanan kompetitif anak didik Cheng Hoe hanya diadakan 19 bulan kemudian dan hasilnya Malaysia sekadar menduduki tangga ketiga di belakang UAE dan Vietnam tetapi menghidupkan peluang untuk ke Piala Asia 2023.
Dalam perkiraan FAM tentu sekali dua senario berlegar dalam minda pembuat dasar mereka – prestasi optimum anak didik Cheng Hoe pada era sebelum COVID-19 dan persembahan mereka pada era COVID-19, dibantu oleh pemain naturalisasi.
Ini ditambah pula dengan prestasi hambar sepanjang kempen Piala AFF Suzuki 2020 yang memberi gambaran seolah-olah Cheng Hoe sudah tandus idea untuk menyuntik idea-idea baharu.
Jangka hayat Cheng Hoe bersama pasukan kebangsaan tentu sekali lambat laun akan tamat. FAM juga sudah tiba di persimpangan.
Tidak lama dahulu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menawarkan kepakaran untuk bantu menguruskan pasukan kebangsaan. Ini formula yang dilakukan oleh Tavatchai Sajakul, orang besar Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) pada era Dream Team mereka pada 1990-an.
Ini antara solusi yang boleh dipertimbangkan. TMJ tentu sekali ada idea menyuntik kesegaran dan persekitaran prestasi tinggi dalam pasukan kebangsaan, termasuk melantik ketua jurulatih dan penolongnya, sambil menyediakan sistem khidmat sokongan dari analisis prestasi, fisiologi dan latihan suaian fizikal dan pakar psikologi sepenuh masa.
Soalnya apakah FAM berani untuk mengambil risiko mengambil jurulatih asing yang tegas, bijak mengurus barisan jutawan, melupakan legasi Cheng Hoe dan cuba mencipta persekitaran baharu dengan hanya ada baki enam bulan sebelum misi layak ke Piala Asia nanti?
Must-Watch Video