UCL
Pastikan kemaraan UCL, Guardiola fokus EPL
MAN CITY 1 SHAKHTAR DONETSK 1
Pep Guardiola mahu memberi tumpuan kepada perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Manchester City menempah tempat dalam pusingan 16, Liga Juara-Juara (UCL) apabila seri 1-1 dengan Shakhtar Donetsk awal pagi tadi.
Satu mata sudah memadai buat juara bertahan liga Inggeris itu melolosi Kumpulan C dengan baki satu perlawanan berikutan kekalahan Dinamo Zagreb kepada Atalanta dalam masa yang sama.
Iklan
City bergelut dalam pertembungan di Stadium Etihad tersebut tetapi mendahului aksi menerusi penyudah Ilkay Gundogan, 11 minit memasuki babak kedua tetapi pemain gantian, Manor Solomon, menyamakan kedudukan tidak lama selepas itu.
Walaupun anak buahnya beraksi di tahap sebenar apabila mencatat seri berturut-turut di pentas Eropah, Guardiola tetap gembira melihat pasukannya dapat mencapai sasaran dengan meneruskan kemaraan.
"Kami layak dan bermain dengan baik dalam babak kedua," katanya, yang telah memenangi sembilan daripada 12 perlawanan bertemu Shakhtar, kepada BT Sport.
"Persembahan separuh masa kedua adalah lebih baik daripada yang pertama. Kami hanya membenarkan beberapa serangan balas.
"Dalam babak pertama, kami terlalu terburu-buru dalam perlawanan dan menyerahkan penguasaan bola tetapi dalam babak kedua, permainan kami lebih kemas dan bertambah baik.
"Saya pernah bertembung dengan Shakhtar Donetsk beberapa kali dan mereka sentiasa mempunyai pemain yang berkualiti. Secara umumnya, kami telah mencipta peluang tetapi seri sudah cukup pada akhirnya.
"Sekarang kami sudah mencapai sasaran awal dalam kejohanan ini dan tumpuan kami akan beralih kepada EPL sebelum kami menghadapi kejohanan merebut piala. Sasaran kali ini adalah untuk melayakkan diri dan kami telah melakukannya."
City telah melepasi peringkat kumpulan dalam tujuh musim berturut-turut, empat daripadanya adalah di bawah Guardiola dan jurulatih Catalan itu mengakui kelab itu sudah jauh berkembang.
"Proses ini, adalah di mana kami kini berada sejak sedekad yang lalu, tujuh tahun berturut-turut bermakna anda telah melayakkan diri sebanyak tujuh kali," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
"Kami akan melihat keadaan semasa sebaik menjengah pusingan kalah mati tetapi kini sudah tiba masanya untuk memberi tumpuan kepada Liga Perdana."
Skuad kendalian pengurus berbangsa Sepanyol itu belum kalah dalam 10 perlawanan peringkat kumpulan sejak Oktober 2018 dan akan menuju ke Zagreb bulan depan.
Pengurus yang dua kali menjuarai saingan Eropah tersebut mencadangkan bahawa dia tidak akan mengelak menurunkan barisan terkuat di Croatia kerana tidak mahu meremehkan persaingan itu.
"Sudah tentu saya akan menilainya tetapi kami akan mempunyai pemain yang mencukupi, kami akan menurunkan pasukan utama," katanya.
"UCL adalah kejohanan berprestij.
"Kami akan berkunjung ke sana dengan niat untuk menang. Demi menghormati Shakhtar dan Atalanta, kami perlu melakukannya."
Keputusan seri itu meninggalkan juara Ukraine, Shakhtar, di tangga kedua Kumpulan C, satu mata sudah memadai buat Dinamo bagi mendahului lawan berikutnya, Atalanta, dengan dua mata.
Pengurus, Luis Castro, gembira dengan keputusan diraih itu, yang melebarkan rekod tanpa kalah pasukannya dalam kejohanan berkenaan kepada empat perlawanan dan meninggalkan mereka dengan kedudukan yang baik untuk melayakkan diri.
"Secara jujurnya, saya menerima apa sahaja keputusannya," katanya.
"Perlawanan ini tidak akan dinilai oleh berapa banyakkah sepakan sudut atau kekasaran dan peluang yang kami cipta.
"Dalam setiap perlawanan, akan ada statistik tertentu yang boleh dilihat. Kami boleh sahaja memenangi perlawanan ini, begitu juga City tetapi hasilnya adalah 1-1.
"Secara dasarnya, seperti yang kami harapkan, City akan bertemu Dinamo Zagreb dalam perlawanan terakhir. Kami sedar jika kami kalah, kami tidak akan tersingkir dalam saingan ini.
"Kami gembira dengan kedua-dua keputusan yang diraih dan segala-galanya akan diputuskan dalam perlawanan terakhir. Kita akan lihat kelak."
Must-Watch Video