Skip to main content

Bola Sepak

Norshahrul bakal berkelana ke Thailand

matyo.jpg
Tidak mendapat tempat dalam kancah bola sepak tempatan, penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha, sebaliknya membuktikan dirinya masih mempunyai bisa dalam pasaran bola sepak antarabangsa apabila menyertai kelab Liga Satu Thailand, Bangkok Glass Pathum United FC, untuk musim 2020.

Dia yang mesra disapa Matyo tampak sudah berada di penghujung karier selepas tidak dilanjutkan kontrak bersama Pahang hujung musim lalu.

Ia menyaksikan penyerang berusia 34 tahun itu antara pemain berstatus bintang yang bergelut mendapatkan pasukan untuk beraksi dalam Liga Malaysia musim ini.

Ketika kebanyakan pasukan tempatan enggan mendapatkan khidmatnya kerana faktor usia, Bangkok Glass selaku kelab luar sebaliknya menyambar khidmat bekas penggempur Terengganu dan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.

"Mulanya kami berbincang mengenai gaji, tempat tinggal dan kenderaan. Kami mencapai persetujuan, kemudian semalam kami menerima surat tawaran selepas mereka memberikan kontrak selama setahun," kata ejen pemain itu, Abdul Halim Shukor.

Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia tiga tahun berturut-turut itu sebelum ini dikaitkan dengan penghijrahan ke Kuching FA dan Kelantan United.

Dia akan ke Bangkok, Thailand esok untuk terlebih dahulu menjalani ujian perubatan sebelum menyertai latihan pertama Bangkok Glass minggu depan.

"Untuk beraksi di Thailand, kemampuan teknikal itu perlu. Kekuatan yang agresif juga diperlukan kerana bola sepak di sana pantas. Saya percaya Norshahrul memiliki kemampuan yang dimaksudkan itu," kata Abdul Halim lagi.



Editor: Nafis Abdullah
 

Advertisement

Must Watch Video