Skip to main content

Bola Sepak

Netizen tidak puas hati import Perak

gilmar-wander-luiz.jpg
Ketika pemain pasukan lain berjaya membantu pasukan masing-masing, empat pemain import Perak gagal memberikan impak dalam empat perlawanan termasuk pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia ( ACL) setakat ini.

Tiga pemain, Gilmar Jose Da Silva Filho, Leandro Dos Santos dan Wander Luiz Junior, yang muncul wira ketika membantu Perak muncul naib juara Liga Super dan juara Piala Malaysia 2018, setakat ini gagal memainkan peranan berkesan.

Gilmar dan Wander Luiz dilihat lebih banyak 'terjatuh' di atas padang walaupun dengan sedikit sentuhan lawan serta sudah tidak tajam.

Musim lalu ,Gilmar muncul penjaring terbanyak Perak dengan 21 gol dalam saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Sementara itu, Wander Luiz menyumbang 11 gol dalam Liga Super dan Piala FA tetapi turut tumpul setakat ini.

Ketumpulan mereka itu menyaksikan Perak belum menang sebarang perlawanan walaupun mencipta banyak peluang.

Walaupun kedua-dua pemain tidak boleh dipersalahkan berikutan kegagalan Perak menang, namun selaku pemain import, mereka diharapkan memberi sumbangan berkesan kepada pasukan.

Sementara itu, Leandro yang memainkan watak penting selaku pemenang bola di kawasan tengah, lebih banyak memberikan sepakan percuma kepada lawan berikutan terjahan kerasnya.

Begitupun, kemarahan utama penyokong pasukan The Bos Gaurus ialah terhadap Zac Anderson yang tidak menunjukkan sebarang keistimewaan.

Pemain tinggi lampai itu tidak menunjukkan kemampuan seperti ketika bersama Kedah dan PKNS FC sebelum ini.

Diturunkan selaku bek tengah, Anderson gagal mengemudi benteng Perak serta tidak kuat di udara.

Sepatutnya dengan ketinggiannya, dia mampu memenangi bola hantaran tinggi tetapi apa yang berlaku adalah Anderson tumpas dalam pertarungan bola di udara kepada penyerang tempatan.

Mujur Perak memiliki pemain-pemain tempatan seperti Shahrul Mohd Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Idris Ahmad dan Amirul Azhan Aznan yang menguatkan benteng selain Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy di benteng terakhir.

Jelas, pemain tempatan seperti Brendan Gan, Kenny Pallraj, Firdaus Saiyadi dan Nor Hakim Hassan memainkan peranan penting dalam pasukan ketika ini. 

Apapun, nasi sudah menjadi bubur. Tidak ada apa yang boleh dilakukan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) lagi kerana tarikh pendaftaran pemain sudah ditutup enam hari lalu kecuali menunggu jendela perpindahan kedua dibuka beberapa bulan lagi.

Kecuali pemain terbabit mampu meningkatkan persembahan mereka dalam tempoh terdekat, Perak terpaksa menanggung akibat gara-gara tersilap langkah.

Lebih teruk, PAFA kena bersedia menghadapi kemungkinan ' berperang' dengan peminat setia serta netizen yang kini sudah mula menyuarakan rasa tidak puas hati dengan apa yang sedang berlaku serta terhadap ketua jurulatih, Mehmet Durakovic. 
 

Advertisement

Must Watch Video