Liga Malaysia baru saja bermula tetapi mutu pengadilan sudah menjadi pertikaian pegawai pasukan.
Mutu pengadilan perlawanan PKNP FC dengan Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Manjung malam tadi menerima kecaman pengendali tuan rumah, Abu Bakar Fadzim.
Advertisement
"Saya bukan jenis yang suka pertikai mutu pengadilan tetapi malam ini pasukan saya jadi mangsa pengadil yang teruk.
"Saya sedar kami pasukan kelab dan kerdil dan sehubungan itu, pengadil tidak takut jika lakukan kesilapan. Lainlah kalau pasukan besar dan ternama," katanya.
Abu Bakar terkilan kerana pengadil gagal melaksanakan tugas dengan adil walaupun kesalahan berlaku di hadapan mata.
Jurulatih itu merujuk kepada insiden bola terkena tangan pemain Kedah di dalam kotak penalti tetapi tiada sepakan penalti diberikan yang kesudahannya menyaksikan pasukan pelawat itu menang 2-0.
"Saya bukan tidak boleh terima kekalahan tetapi tindakan pengadil itu sungguh mengecewakan pemain PKNP.
"Mereka dinafikan peluang menjaringkan gol," katanya.
Berikutan itu, Abu Bakar akan membuat bantahan rasmi kepada badan pentadbir liga bola sepak Malaysia (MFL) agar kelemahan seumpamanya tidak berterusan.
"Cukuplah kami sahaja jadi mangsa. Jangan ada lagi insiden seperti ini dan pasukan lain turut teraniaya," katanya.